ALOR SETAR, 4 Dis (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan bahawa integriti data terutama maklumat rakyat di negara ini akan sentiasa dijaga, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata setakat ini tiada insiden kebocoran data kad pengenalan atau MyKad dilaporkan dan menyeru agar rakyat berhati-hati dengan penyebaran maklumat yang tidak sahih.
"Terdapat dakwaan kebocoran data yang melibatkan kad pengenalan sebanyak 17 juta keping, seperti yang tular dalam media sosial. Saya telah meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bahagian keselamatan teknologi maklumat untuk menyiasat perkara ini.
"Setakat ini, tiada insiden kebocoran yang dilaporkan. Kerajaan memberi jaminan bahawa integriti data, terutama maklumat penduduk sentiasa dijaga," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi dekat sini hari ini.
Beliau mengulas laporan media hari ini yang mengatakan data kad pengenalan atau MyKad 17 juta rakyat Malaysia didakwa bocor dan dijual di laman web gelap.
Menurut laporan itu, pengguna laman X, Fusion Intelligence Center @ StealthMole mendakwa sampel MyKad Malaysia telah dikongsi secara terbuka di laman web gelap berkenaan dan sebagai bukti, mereka telah berkongsi secara terbuka sampel kad pengenalan rakyat negara ini.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata kerajaan akan memperluas Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) jika terdapat keperluan dalam agensi yang lain.
"IPCC telah mula dikuatkuasakan pada 1 Julai tahun lepas, akta ini buat masa sekarang hanya melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Walaupun terdapat harapan agar ia diperluas kepada semua agensi penguatkuasaan, keputusan pada ketika itu adalah untuk mendahulukan PDRM.
"Pentadbiran kini terbuka untuk memperbaik akta berkenaan pada masa hadapan jika ada keperluan untuk melibatkan agensi lain," katanya.
Semalam, media melaporkan sebanyak 529 aduan telah diterima IPCC setakat 22 Nov, sejak Akta IPCC 2022 (Akta 839) dikuatkuasakan pada 1 Julai 2023, merangkumi kes berkaitan jenayah yang dirujuk kepada PDRM, kes rasuah disalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala kes tatakelakuan pula akan disiasat oleh IPCC.
IPCC merupakan Badan Berkanun Persekutuan ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Akta 839 dan diwartakan pada 18 Okt 2022 dengan menjalankan fungsi dan kuasa sebagai badan pemantau bebas terhadap pasukan polis dari aspek siasatan aduan berkaitan salah laku.
-- BERNAMA