AM

PENGERUSI JKPK BERI PENERANGAN DI DEWAN RAKYAT BERMULA HARI INI - JOHARI

04/12/2024 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Buat kali pertama Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) berpeluang memberikan penerangan mengenai penyata jawatankuasa masing-masing pada sidang Dewan Rakyat bermula hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata ia bertujuan memberi pendedahan dan liputan luas kepada rakyat mengenai fungsi dan peranan JKPK dalam membincangkan isu-isu semasa.

“Kita nak naikkan martabat JKPK. Sebab itu saya minta pengerusi-pengerusi memainkan peranan yang lebih untuk memastikan Dewan Rakyat ini berfungsi sebagai semak dan imbang kepada badan eksekutif,” katanya selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian Cha Kee Chin (PH-Rasah) menjadi pengerusi pertama membentangkan penyata bertajuk ‘Potensi Industri Lembu Hibrid Pedaging di Malaysia’.

Johari berkata penerangan penyata oleh Pengerusi JKPK itu dilaksanakan mengikut Peraturan Mesyuarat 14(1)L yang dibaca bersama dengan Peraturan Mesyuarat 25 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau berkata setiap pengerusi JKPK diberikan masa tujuh minit untuk membuat penerangan dan membenarkan empat Ahli Parlimen dengan masing-masing dua daripada wakil kerajaan dan pembangkang untuk sesi perbahasan.

Setiap pembahas diberi masa tiga minit sebelum pengerusi menjawab selama lima minit.

Pada masa sama, Johari meminta supaya wakil kementerian iaitu menteri, timbalan menteri atau pegawai perlu berada dalam Dewan Rakyat semasa sesi penerangan oleh Pengerusi JKPK bagi menunjukkan kepekaan mereka terhadap isu yang dibangkitkan. 

Pada 17 Julai lepas, Johari berkata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan JKPK akan dibenar membentangkan penyata laporan masing-masing di Dewan Rakyat untuk memberi pemahaman kepada rakyat mengenai fungsi mereka dalam menangani isu semasa. 

Beliau dilaporkan berkata ia adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan tahap akauntabiliti Dewan Rakyat dan ia diputuskan dalam pertemuan beliau dengan pengerusi kedua-dua jawatankuasa pada 24 Jun lepas. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan