AM

MEDIA SOSIAL, PEMPENGARUH BANTU PROMOSI SEKTOR PELANCONGAN NEGARA - TIONG

04/12/2024 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggunakan platform media sosial dan khidmat pempengaruh bagi membantu usaha mempromosikan sektor pelancongan negara, selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. 

Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing dalam kenyataan hari ini berkata media sosial dan pempengaruh memainkan peranan besar bagi mempromosikan sektor itu antaranya dengan menarik minat generasi muda dalam serta luar negara.

“Kita harus akui, media sosial dan pempengaruh adalah satu platform mustahak. Dalam promosi pelancongan, kita guna semua platform media sosial kerana sedar kepentingannya dan ini adalah platform utama untuk sektor pelancongan selain media arus perdana,” menurut kenyataan itu. 

Tiong berkata demikian ketika menghadiri majlis Makan Malam All Star Influencer Award (ASIA) 2024 di sini semalam yang turut dihadiri penganjur ASIA2024 Datuk Abd Rahman Soltan dan 60 pempengaruh dari sembilan negara antaranya Malaysia, Indonesia, Jepun, Filipina, Taiwan, Korea Selatan dan China.

Mengenai penganjuran ASIA2024, Tiong berkata kehadiran pempengaruh dari negara luar itu dilihat sebagai usaha baik dalam mempromosikan Malaysia.

“Terima kasih kepada ASIA2024 dan pempengaruh yang hadir, bukan sahaja membantu mempromosikan acara itu tetapi turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan, selaras dengan usaha kita menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kehadiran mereka memberikan impak besar dengan menonjolkan keindahan dan keunikan negara kepada global menerusi media sosial,” katanya. 

Abd Rahman dalam kenyataan sama berkata ASIA 2024 yang berlangsung Sabtu ini, bertujuan memupuk kesedaran tentang kepentingan menghasilkan kandungan bermanfaat dan berkualiti selain menghimpunkan bakat serta pengaruh digital daripada pelbagai latar belakang budaya.

“Peserta dengan jutaan pengikut akan menyertai aktiviti seni dan budaya di Melaka. Kandungan video yang dihasilkan memfokuskan keindahan dan kepelbagaian budaya Malaysia, yang dapat menarik perhatian pengguna media sosial di seluruh dunia.

“ASIA2024 juga memupuk kesedaran tentang kepentingan menghasilkan kandungan bermanfaat dan berkualiti. Kami mahu melahirkan pencipta kandungan yang bertanggungjawab dan mampu menyampaikan mesej positif kepada audiens mereka,” katanya.

ASIA edisi kedua ini bakal mempertandingkan 13 kategori, antaranya ‘Best Storyteller Award’, ‘Best Culture Curator Award’ dan ‘Best Transition/Editing Award’ dengan pemenang bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai dan trofi eksklusif.

-- BERNAMA 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan