ALOR GAJAH, 4 Dis (Bernama) -- Sumbangan satu set komputer berkeupayaan tinggi dan sebuah televisyen pintar kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka bakal memberi manfaat kepada pelajar memahami lebih mendalam mengenai bidang kewartawanan.
Sumbangan daripada Kementerian Komunikasi bersempena dengan Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa Zon Selatan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin di sini hari ini.
Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Melaka Dr Nadzri Mohd Sharif berkata ia merupakan satu permulaan yang baik kepada pelajar jurusan komunikasi di UiTM Kampus Alor Gajah untuk mendalami ilmu kewartawanan dengan bantuan teknologi.
"Dengan ada teknologi ini saya percaya pelajar mungkin akan mempelajari lebih banyak perkara berkait rapat dengan apa yang berlaku dalam industri di luar sana dan juga dapat mempraktikkan apa yang ada dalam industri itu menerusi proses pembelajaran mereka," katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan sumbangan berkenaan di Pejabat Rektor UiTM Kampus Alor Gajah di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Ketua Pengarang Bernama yang juga Pengarah Projek HAWANA 2024 Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Nasriah Darus.
Selain sumbangan peralatan berkenaan, Bernama turut melaksanakan tiga bengkel, iaitu Mobile Journalism (MoJo), Semakan Fakta oleh Editor Bernama dan ceramah Klik Dengan Bijak oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Pensyarah Kanan Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka Shafezah Abdul Wahab berkata sesi perkongsian Bernama menerusi bengkel MoJo memberi peluang kepada pelajar jurusan kewartawanan mendalami aspek media baharu secara terus daripada pihak industri.
Beliau berkata generasi baharu sekarang celik teknologi, justeru pendedahan yang diberikan semasa bengkel memberi nilai tambah bagi aktiviti luar kelas kepada kelompok itu.
"UiTM sendiri memberi fokus kepada kewartawanan baharu ini yang disokong oleh teknologi dan sudah ada mata pelajaran berkaitan yang diajar selama dua semester dan kita juga tidak terlalu bergantung pada kewartawanan tradisional.
"Menerusi kaedah pembelajaran media baharu ini, saya lihat pelajar lebih positif ketika menghasilkan tugasan dan saya dapat lihat mereka sangat kreatif dalam menghasilkan kandungan bagi sesuatu tugasan diberikan," katanya kepada Bernama.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Kampus Rembau, Negeri Sembilan Noor Ashmalia Ashraff berkata bengkel Semakan Fakta memberi idea kepadanya untuk mendapatkan ilmu bagi menambah baik kajian untuk menyiapkan tesis bagi ijazah doktor falsafah (PhD).
"Menerusi bengkel ini, penceramah memberi beberapa indikator bagi menilai sesuatu berita sama ada ia benar ataupun palsu, dan saya rasa ia boleh menjadi penunjuk aras yang bagus bagi menyiapkan kajian untuk PhD.
"Saya berpandangan promosi terhadap semakan fakta ini perlu diperluas dengan lebih agresif kepada masyarakat agar maklumat palsu dapat dikekang lebih baik," katanya dan menambah sedang menyiapkan tesis mengenai penilaian masyarakat terhadap berita yang diusahakannya sejak tahun lepas.
Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa merangkumi enam zon di seluruh negara, iaitu Sarawak, Sabah, Tengah, Utara, Selatan dan Timur. Zon Timur akan menjadi lokasi penutup pada 12 Dis ini di Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Terengganu.
Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa merupakan antara acara yang diadakan bersempena dengan sambutan HAWANA 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.
-- BERNAMA