KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena ulang tahun kemangkatan Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, berangkat sama Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj.
Menurut hantaran itu majlis tersebut diadakan di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru dengan dihadiri kira-kira 500 jemputan dan bacaan Yasin serta tahlil dipimpin Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad,.
Almarhum Tunku Abdul Jalil yang merupakan anakanda keempat Seri Paduka Baginda berdua, mangkat pada 5 Dis 2015 pada 25 tahun selepas 16 bulan berjuang melawan kanser.
Semasa hayatnya, Almarhum Tunku Abdul Jalil turut bertugas sebagai pegawai polis dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Inspektor.
-- BERNAMA