ARAU, 5 Dis (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kini dalam rangka penubuhan Fakulti Sains dan Pengkomputeran yang memberikan fokus kepada bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) serta teknologi pengkomputeran dan sains.
Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata Program Pengajian Data Sains AI juga sedang dalam proses kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan dijangka menerima kohort pelajar pertama bagi kemasukan Oktober 2025/2026 tahun hadapan.
"Malahan dalam kurikulum pembelajaran terkini UniMAP, elemen AI telah diterapkan secara menyeluruh. Ia juga diterjemahkan dalam projek-projek tahun akhir termasuk yang dijalankan melalui kerjasama strategik dengan pihak industri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup program AI Summer Camp University Tour - Zon Utara 2024 di Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra di sini hari ini yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Zaliman berkata usaha itu adalah seiring dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi dalam memperkasakan AI dan penubuhan fakulti berkenaan secara tidak langsung menyokong bidang Elektrik dan Elektronik (E&E) UniMAP.
"...kita dapat lihat industri E&E semakin mengaplikasikan teknologi AI seperti automasi dan pembelajaran mesin dalam proses pembuatan mereka," katanya.
Sementara itu, beliau yakin penganjuran program AI summer camp mampu melahirkan bakat baharu dalam bidang AI serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang akan memupuk pemikiran kritis dan kreatif dalam dunia yang semakin dipacu teknologi.
"Seperti kita tahu, program ini adalah untuk memperkenalkan konsep asas AI kepada para pelajar selain menggalakkan minat terhadap bidang STEM...AI bukan sekadar teknologi masa kini tetapi ia adalah masa depan.
"Melalui inisiatif seperti ini, UniMAP komited untuk menjadi peneraju dalam melahirkan tenaga kerja tersedia industri berdaya saing seperti dapat dilihat daripada data Kulim Hi-Tech Park Corporation (KHTP), iaitu UniMAP adalah penyumbang bakat terbesar dengan jumlah 3,208 graduan yang sedia bekerja di Kulim Hi-Tech Park," katanya.
-- BERNAMA