GUA MUSANG, 5 Dis (Bernama) -- Jambatan besi sepanjang 10 meter di Kampung Serian, di sini yang baharu sebulan dinaik taraf kini mengalami hakisan tanah selepas dilanda banjir, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk kampung itu.
Penduduk Muhamad Rofi Ismail, 58, berkata kerosakan itu mula disedari hampir seminggu, selepas banjir surut dan jambatan itu kini berisiko runtuh kerana tiang penahannya tidak lagi kukuh.
“Jambatan ini digunakan lebih 1,000 penduduk setiap hari sebagai laluan utama keluar masuk ke kampung. Kami bimbang hakisan yang berlaku akan menyebabkan jambatan tergantung dan runtuh kerana tidak dapat menampung beban berat.
“Keadaan itu membahayakan pengguna yang melaluinya jika berlaku lagi hakisan berikutan gelombang banjir seterusnya di musim tengkujuh ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Serian, di sini, hari ini.
Turut senada Muhammad Faisal Yaakob, 32, yang sering menggunakan jambatan itu untuk menghantar anak ke sekolah pada setiap pagi.
Beliau berkata laluan itu penting untuk penduduk ke masjid, bandar dan pekebun yang membawa hasil pertanian menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
“Kami berharap ada pihak berwajib segera menyelenggara hakisan di bahagian bawah jambatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk kampung berhubung isu itu.
Beliau berkata keadaan jambatan itu tidak kukuh kerana hakisan tanah berlaku di tapak tiangnya dan menyeru pihak berkuasa segera menyelenggara dan membaik pulih struktur jambatan.
-- BERNAMA