KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkul Anugerah Kecemerlangan Media Digital dan Audio pada Majlis Anugerah Kolaborasi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) 2023/2024 yang berlangsung di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini hari ini.
Anugerah berkenaan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir kepada Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama Mohd Shukri Ishak, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen tinggi agensi itu dalam menyediakan platform kepada AKPK untuk terlibat dengan orang awam sejak 2023.
Kementerian Komunikasi turut menerima Anugerah Penggerak Jenama Cemerlang atas kerjasama strategik dan sokongan padu dalam menyampaikan pengumuman perkhidmatan awam (PSA) AKPK melalui saluran televisyen arus perdana, sekali gus memperkukuh kesedaran pengurusan kewangan dan menyumbang kepada kejayaan keseluruhan AKPK.
Dalam ucapannya, Azaddin menekankan kepentingan anugerah berkenaan yang menyaksikan 32 penghargaan diberikan kepada 103 organisasi, termasuk Anugerah Impak Perkongsian Utama, selaras dengan tema ‘Growing with a Purpose’.
“Kepada semua rakan kerjasama kami, anda bukan sahaja sebahagian daripada perjalanan AKPK, tetapi nadi kepada kejayaan kami. Sumbangan anda, tidak kira besar atau kecil, memberikan impak yang dirasai di seluruh negara. Ketika kita melangkah ke hadapan, ingatlah bahawa kerja kita bukan sekadar mengenai membantu individu menguruskan hutang atau membuat keputusan kewangan yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shukri berkata anugerah berkenaan merupakan satu penghargaan kepada Bernama, dan agensi berita itu akan terus komited memainkan peranan sebagai platform penyampai maklumat berkaitan kaunseling dan pengurusan kredit melalui kerjasama dengan AKPK
-- BERNAMA