EKONOMI

ALLIANCE BANK UMUM PEMENANG CABARAN BIZSMART, IKTIRAF PERUSAHAAN BAHARU TERKEMUKA DI MALAYSIA

06/12/2024 10:15 AM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Tiga perusahaan baharu, BioLopp, Gula Cakery dan HiiVolt dipilih sebagai tiga pemenang utama “BizSmart Challenge Accelerator Edition” (Cabaran BizSmart) yang meraikan dan mengiktiraf perusahaan baharu terkemuka di Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) berkata cabaran itu telah menjadi platform ikonik dalam ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan menganugerahkan hadiah wang tunai berjumlah RM550,000 kepada 13 pemenang.

“Anugerah ini menekankan komitmen cabaran untuk memupuk pelbagai PKS yang berpotensi tinggi dan melengkapkan mereka dengan sumber serta peluang bagi merangsang pertumbuhan dan memacu impak perniagaan yang berkekalan.

“Dengan sokongan yang meluas, cabaran itu akan membolehkan lebih banyak PKS mengorak langkah dalam industri masing-masing dan mengukuhkan dedikasi Alliance Bank untuk mencetuskan generasi baharu usahawan inovatif di Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank Kellee Kam berkata sokongan berterusan daripada rakan kongsi - Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), Cradle Fund Sdn Bhd, 1337 Ventures Sdn Bhd dan 5X Capital - mereka komited untuk menyediakan bimbingan dan pandangan industri termasuk sumber serta peluang untuk membolehkan PKS berkembang.

“Dalam usaha kami untuk menjadi ‘The Bank For Life’, kami terus berusaha untuk memperkasakan pemimpin perniagaan generasi baharu supaya memberikan impak yang bermakna dalam industri dan komuniti mereka,” katanya.

Mengenai pemenang, bank itu berkata ketiga-tiga syarikat tersebut berjaya menampilkan kecemerlangan dalam perniagaan masing-masing, menarik perhatian hakim dengan kepintaran dalam perniagaan, inovasi dan potensi berkembang mendahului 10 finalis lain yang mengagumkan.

“BioLoop, firma bioteknologi yang menumpukan kepada pengurusan sisa lestari dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang RM265,000 termasuk beberapa anugerah seperti ‘Cradle Partner Selection Award’ dan Anugerah Kategori Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC),” katanya.

Syarikat tersebut menggunakan teknologi “Black Soldier Fly Larvae” untuk menukar sisa makanan menjadi makanan haiwan berprotein tinggi dan baja organik.

Dalam misi menangani cabaran sisa di Malaysia dan menyumbang kepada keselamatan makanan, BioLoop telah memproses lebih 8,000 tan metrik sisa makanan sejak penubuhannya pada 2020.

Tempat kedua dan Anugerah Kategori CGC dimenangi oleh Gula Cakery yang diasaskan oleh Nor Arieni Ritzal dan membawa pulang hadiah berjumlah RM105,000 atas dedikasinya terhadap kualiti serta komuniti.

Selain itu, HiiVolt, penyedia pertama perkhidmatan jaminan lanjutan untuk bateri kenderaan hibrid di Malaysia dipilih sebagai pemenang ketiga bagi “BizSmart Challenge Accelerator Edition”.

Syarikat itu memenangi hadiah wang tunai keseluruhan RM65,000 termasuk “Cradle Partner Selection Award”, Anugerah Kategori CGC dan “Investor’s Choice Award by 1337 Ventures”.

“Penyelesaian inovatifnya seperti perkhidmatan jaminan dan pembaikan semula bateri mesra alam turut menyokong industri automotif hijau yang sedang berkembang di Malaysia,” menurut bank itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan