AM

SAHABAT TERBAIK KULIT ANDA: GUNAKAN PELINDUNG MATAHARI SEBELUM TERLAMBAT

06/12/2024 01:02 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Melindungi kulit daripada sinaran ultraviolet (UV) adalah penting untuk kesihatan jangka panjang terutamanya dalam iklim tropika seperti di Malaysia yang menerima cahaya matahari sepanjang tahun meningkatkan risiko selaran matahari, penuaan pramatang dan kanser kulit.

Pakar Perunding Dermatologi Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) Dr Nur Ashikin Ahmad berkata berdasarkan laporan Daftar Kanser Kebangsaan, terdapat peningkatan membimbangkan kes kanser kulit yang menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran dan langkah pencegahan.

“Pelindung matahari harus menjadi bahagian penting dalam rutin harian setiap orang, tidak kira sama ada yang berada di dalam mahupun di luar rumah. Sinaran UVA boleh melalui tingkap dan menembusi jauh ke dalam kulit, membawa kepada penuaan kulit pramatang dan pigmentasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sinaran UV terdiri daripada sinaran UVA, UVB dan UVC. Walaupun lapisan ozon sebahagian besarnya menyekat sinar UVC, sinar UVB kekal menjadi kebimbangan utama kerana ia adalah penyebab utama selaran matahari dan kanser kulit.

Selain itu, Dr Nur Ashikin turut memberi amaran mengenai kesan cahaya biru yang dipancarkan oleh peranti digital, kerana daripada penyelidikan menunjukkan mungkin menembusi lebih ke dalam kulit berbanding sinaran UVB yang mempercepatkan penuaan kulit.

Menurut Dr Nur Ashikin, penggunaan pelindung matahari adalah satu daripada cara paling berkesan untuk melindungi kulit dan memahami Faktor Perlindungan Matahari (SPF) merupakan kunci membuat pilihan tepat. Bagi iklim tropika Malaysia, sekurang-kurangnya SPF30 disyorkan sebagai kegunaan harian bagi mengelakkan kemerahan disebabkan oleh sinaran UVB.

Pelindung matahari perlu digunakan apabila indeks UV biasanya paling tinggi antara 10 pagi dan 4 petang, dengan waktu tengah hari sering diklasifikasikan sebagai ‘tinggi’ hingga ‘sangat tinggi’. Bagi mereka yang menghabiskan masa lama di luar dengan pendedahan langsung kepada matahari seperti di pantai atau semasa aktiviti sukan, SPF50+ memberikan perlindungan lebih baik, katanya.

“Pelindung matahari hendaklah digunakan 15 hingga 30 minit sebelum terdedah kepada matahari atau melakukan aktiviti dan penggunaan semula diperlukan setiap dua hingga empat jam, terutamanya selepas berpeluh atau berenang kerana faktor ini boleh mengurangkan keberkesanan pelindung matahari dan  mengurangkan faktor perlindungan matahari,” katanya.

Dr Nur Ashikin menjelaskan bahawa pelindung matahari terdapat dalam dua jenis iaitu fizikal dan kimia. Pelindung matahari fizikal mengandungi bahan seperti zink atau titanium oksida, mencipta penghalang untuk memantulkan sinaran UV. Ia sesuai untuk kulit sensitif tetapi mungkin meninggalkan kesan putih, terutamanya pada kulit yang lebih gelap.

Pelindung matahari kimia pula selalunya mengandungi bahan seperti avobenzone, oxybenzone dan octinoxate, yang berfungsi menyerap sinar UV dan menukarkannya kepada haba. Ia lebih ringan dan mudah meresap ke dalam kulit, memberikan daya tarikan estetik yang lebih baik tetapi boleh menyebabkan kerengsaan bagi mereka yang mempunyai kulit sensitif, katanya.

Dr Nur Ashikin berkata selain muka yang sering diutamakan, bahagian lain yang terdedah juga penting untuk dilindungi seperti leher, tangan dan kaki yang sering diabaikan tetapi sebenarnya sama terdedah kepada kerosakan akibat matahari. Pendedahan berpanjangan kepada sinaran UV boleh menyebabkan kedutan, hiperpigmentasi dan kanser kulit.

Beliau berkata kerosakan UV berkumpul dari semasa ke semasa, meningkatkan risiko tanpa mengira bahagian tubuh. Kawasan selain muka seperti lengan dan kaki juga merupakan tempat biasa untuk melanoma dan bentuk kanser kulit yang lain. Penggunaan pelindung matahari secara kerap pada bahagian berkenaan membantu mengekalkan tona dan keanjalan kulit.

Dr Ashikin mengakui kepentingan pendedahan kepada cahaya matahari untuk sintesis Vitamin D, terutamanya pada waktu awal pagi atau lewat petang, namun tempoh pendedahan matahari berbeza bergantung kepada masa hari, musim, lokasi dan warna kulit.

Beliau berkata individu mempunyai kulit lebih cerah mungkin memerlukan 10 hingga 20 minit pendedahan matahari langsung pada kulit yang tidak dilindungi, manakala mereka berkulit gelap mungkin memerlukan lima hingga 30 minit kerana melanin mengurangkan keupayaan menghasilkan Vitamin D.

Bertentangan dengan kepercayaan bahawa tona kulit lebih gelap tidak memerlukan pelindung matahari disebabkan perlindungan semula jadi melanin, Dr Nur Ashikin berkata melanin hanya menawarkan perlindungan separa dan untuk perlindungan yang berkesan, SPF30+ disyorkan untuk melindungi kulit daripada kerosakan akibat matahari.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan