AM

JPJ GERAK ANGGOTA, ASET BANTU MANGSA BANJIR

06/12/2024 02:05 PM

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggerakkan aset serta  pasukan sukarelawan ke lokasi terjejas untuk membantu membersihkan rumah mangsa banjir dan menghantar kelengkapan serta peratalan yang diperlukan. 

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kira-kira 80 aset termasuk lori dan pacuan empat roda serta 400 sukarelawan bakal dihantar ke kawasan terjejas untuk membantu kerja-kerja pembersihan. 

"Fasiliti JPJ seperti Akademi JPJ wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan telah dijadikan lokasi penugasan oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membantu mangsa banjir," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Agensi di bawah MOT juga telah menggerakkan pelbagai usaha bagi membantu mereka yang terjejas termasuk kepada petugas dan orang awam sejak minggu lepas hingga hari ini.

Setakat ini, MOT sudah melancarkan Tabung Bantuan Ihsan MADANI 2024 dalam usaha membantu mangsa banjir dan menubuhkan Bilik Gerakan Ihsan MADANI bermula 2 Dis lepas bagi menyelaras perkara-perkara berkaitan kesiapsiagaan bencana peringkat MOT serta boleh dihubungi di talian 03-88921196 dan ihsanmadanimot@mot.gov.my.

Selain itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyarankan semua pengusaha dan pengendali untuk sentiasa mengemas kini maklumat perjalanan terkini bagi memudahkan pengguna mengatur perjalanan.

Bagi pengguna yang telah membeli tiket perjalanan, pihak syarikat hendaklah mempertimbangkan mana-mana kaedah secara opsyen yang dipilih oleh pelanggan sama ada pemulangan penuh harga tiket atau membenarkan pindaan tarikh perjalanan ke satu tarikh lain.

Menurut MOT, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan perkhidmatan khas (terhad) bagi laluan Bukit Abu, Kuala Gris, Dabong dan sebaliknya bagi kemudahan pelajar sekolah, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia 2024 untuk hadir bagi menduduki peperiksaan.

KTMB juga melanjutkan tempoh permohonan pemulangan tambang penuh kepada semua penumpang yang terkesan daripada tujuh hari kepada 30 hari yang boleh dilakukan secara dalam talian atau di kaunter.

Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-97791200, laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my atau mengikuti saluran media sosial rasmi KTMB bagi maklumat terkini.

Menurut MOT, warga kerja projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) meneruskan pendekatan proaktif seperti menyediakan pengangkutan dan tenaga kerja bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjr di Kelantan dan Terengganu.

Turut disediakan bekalan makanan kepada mangsa banjir di pusat bantuan banjir dan masjid yang berkenaan serta jentera dan mesin seperti trak tipper, trak dump, jengkaut dan jentera korek kaut bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan serta penyelenggaraan di lokasi dilanda banjir.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan