AM

MAIPS DALAM PROSES KAJI, RANGKA PELAN MASYARAKAT PERLIS BERTAMADUN

06/12/2024 04:59 PM

KANGAR, 6 Dis (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kini dalam proses mengkaji dan merangka Pelan Masyarakat Perlis Bertamadun dalam usaha melahirkan satu jati diri yang unik serta tersendiri bagi masyarakat di negeri itu.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah agar  usaha itu membawa kepada pengukuhan tamadun Perlis yang lebih gemilang satu hari nanti.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Festival Warisan Nusantara 2024 di Dewan 2020 di sini hari ini. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengalu-alukan lebih ramai pihak untuk membuat kajian mendalam serta menghasilkan penulisan seperti buku serta artikel mengenai warisan yang ada di Perlis dan langkah itu amat penting supaya dapat menyediakan bahan rujukan berfakta serta berkualiti tinggi untuk generasi akan datang.

"Tidak ketinggalan, Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis turut mengambil langkah proaktif dengan menggubal Tatacara Nyanyian Lagu Aamiin-Aamiin yang juga sebahagian identiti negeri ini. 

"Garis panduan yang telah diperkenankan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ini telah diangkat ke dalam Enakmen Lagu Negeri Perlis sekali gus memperkukuh kedudukan lagu itu sebagai simbol rasmi negeri," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah usaha Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu MAIPs melaksanakan beberapa inisiatif signifikan dalam mengangkat nilai warisan adat di Perlis antaranya termasuk memperkenalkan tengkolok rasmi dikenali ‘Putra Julang Darjat’ yang menjadi simbol keagungan adat negeri. 

"Jawatankuasa juga telah mewajibkan pemakaian ‘Kebaya Perlis’ dalam majlis rasmi sebagai satu langkah memperkasakan identiti tradisional negeri ini," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda bertitah penguasaan kaedah pemasaran yang kreatif serta inovatif menggunakan media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) amat penting bagi memastikan capaian lebih meluas kepada masyarakat umum sama ada dari dalam mahupun luar negara bagi memasarkan produk warisan serta pelancongan.

"Dunia global semasa menuntut pemain industri pelancongan dan kebudayaan untuk memasarkan produk masing-masing secara kreatif serta inovatif.

"Sama ada kita sedar atau tidak, media sosial semakin menjadi instrumen utama bagi memasarkan produk warisan dan pelancongan yang kita miliki," titah Raja Muda Perlis.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan