AM

PLKN 3.0 DIREKA BAGI PENUHI KEPERLUAN UNIK NEGARA KITA - MOHAMED KHALED

07/12/2024 04:13 PM

PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Program Latihan Khidmat Negara 3.0 yang bakal dilaksanakan secara berperingkat bulan depan direka untuk mengimbangi keperluan pertahanan dan perpaduan negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata berbeza dengan negara lain yang melaksanakan program seumpama itu untuk memenuhi keperluan cabaran pertahanan disebabkan ancaman nyata, Malaysia mengadakan PLKN bagi memupuk perpaduan dalam masyarakatnya yang majmuk.

"Kita harus faham bahawa kita jangan jadikan asas acuan (PLKN berdasarkan) khidmat negara di negara lain. Sesetengah negara ada program ini kerana ada ancaman contohnya di Korea Selatan dan Korea Utara.

"Kita tidak ada ancaman sebegitu tetapi kita ada cabaran dari segi kita nak pupuk negara yang masyarakatnya majmuk, jadi kita ikut cara kita," katanya pada sidang media selepas Majlis Graduasi Pusat Pengajian Pertahanan Nasional di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan terhadap model baharu PLKN yang tidak sepenuhnya berasaskan ketenteraan.

Mohamed Khaled berkata PLKN 3.0 menekankan pembangunan disiplin, kepimpinan dan kefahaman sejarah negara dalam kalangan pelatih.

Beliau berkata pelaksanaan PLKN juga adalah antara pendekatan bagi mencapai pertahanan menyeluruh yang melibatkan sumbangan rakyat dalam memastikan negara kekal aman.

"Rakyat perlu menyumbang kepada keadaan negara di mana rakyatnya dapat hidup dalam keadaan menghormati antara satu sama lain," katanya.

Mohamed Khaled juga berkata beliau percaya unsur buli tidak akan berlaku dalam pelaksanaan PLKN 3.0.

"Saya percaya kerana mereka tidak akan ada bersama (untuk tempoh yang lama), tidak sama seperti kadet yang belajar dalam universiti.

"Jadi, kemungkinan soal-soal seperti buli dan dera tidak akan berlaku," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan