KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Filem arahan Nik Amir Mustapha, Imaginur, melakar sejarah di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) apabila dinobat sebagai Filem Terbaik pada majlis yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri malam ini.
Filem terbitan Lumatic Films Sdn Bhd itu turut unggul dengan membawa pulang enam lagi trofi FFM33 iaitu Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Beto Kusyairy), Cerita Asal Terbaik, Penyunting Terbaik (Johan Arif Mazlan), Lagu Tema Terbaik (Hasrat oleh Amir Jahari) dan Penataan Seni Terbaik (Rabbani Sujak)
Kejayaan besar itu menyaksikan penerbitnya membawa pulang trofi serta hadiah Utama Dana Kandungan Kreatif bernilai RM500,000 yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Turut hadir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Mengekori rapat Imaginur dalam persaingan trofi ialah filem Abang Adik yang merangkul lima anugerah iaitu Tatarias Terbaik (Ng Keok Cheng, Yap Pui Yin, dan Kua Goh Yoke Eng), Busana Terbaik (Elaine Ng), Pengarah Harapan (Jin Ong), Lakon Layar Terbaik (Jin Ong) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Jack Tan).
Trofi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menjadi milik Susan Lankester menerusi filem Rain Town manakala Pelakon Pembantu Wanita Terbaik diraih Elizabeth Tan melalui filem Sheriff.
Zakaria Ahmad, atau lebih dikenali sebagai A.Galak, diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman manakala Anugerah Khas Karyawan diberikan kepada Indra Che Muda.
Bertemakan 'EMAS-Evolusi Sinema Malaysia', FFM33 dianjurkan oleh Finas dengan sokongan Kementerian Komunikasi serta bersiaran secara langsung menerusi TV2 dan laman YouTube Finas.
Berikut ialah senarai penuh pemenang FFM33:
• Filem Terbaik: Imaginur
• Pengarah Terbaik: Nik Amir Mustapha (Imaginur)
• Pelakon Lelaki Terbaik: Beto Kusyairy (Imaginur)
• Pelakon Wanita Terbaik: Susan Lankester (Rain Town)
• Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Jack Tan (Abang Adik)
• Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Elizabeth Tan (Sheriff)
• Lakon Layar Terbaik: Jin Ong (Abang Adik)
• Cerita Asal Terbaik: Redza Minhat dan Nik Amir Mustapha (Imaginur)
• Anugerah Khas Sepanjang Zaman: A. Galak
• Anugerah Khas Karyawan: Indra Che Muda
• Anugerah Khas Juri 1: Sly Entertaiment Sdn Bhd, Naam Katra Isai (Muzik Kami Pelajari)
• Anugerah Khas Juri 2: Kalamariff Sdn Bhd (Duan Nago Bogho)
• Pengarah Harapan: Jin Ong (Abang Adik)
• Pelakon Lelaki Harapan: Aniq Durar (Pagari Bulan)
• Pelakon Wanita Harapan: Trisha Ooi (Janna Endoro)
• Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Qisya Hairulzain (Magik)
• Penyunting Terbaik: Johan Arif Mazlan (Imaginur)
• Sinematografi Terbaik: Rahimi Maidin (Sheriff)
• Lagu Tema Terbaik: Hasrat, Amir Jahari (Imaginur)
• Skor Muzik Asal Terbaik: Jackey Yow (Malbat Misi Bakara)
• Penataan Bunyi Terbaik: Nizam Razak (Mechamato Movie)
• Penataan Seni Terbaik: Imaginur (Rabbani Sujak)
• Rekaan Busana Terbaik: Elaine Ng (Abang Adik)
• Tatarias Terbaik: Ng Keok Cheng, Yap Pui Yin dan Kua Goh Yoke Eng (Abang Adik)
• Dokumentari Terbaik: Pekik, Stereo Pixels Sdn Bhd
• Filem Pendek Terbaik: The Missing Trophy, Wayang Works Sdn Bhd
• Kesan Khas Visual Terbaik: Vipers Studio Sdn Bhd (Sheriff)
• Poster Terbaik: Layar Pictures Sdn Bhd (Walid)
• Anugerah Khas Filem Box Office: Skop Production Sdn Bhd dan Astro Shaw Sdn Bhd (Sheriff)
-- BERNAMA