KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan meningkatkan kerjasama dan mengadakan sesi libat urus serta pemeriksaan ke atas institusi kewangan bagi memperbaiki pelaksanaan dan pematuhan polisi berkaitan Individu yang Mempunyai Pengaruh Politik (PEP), menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Timbalan Menterinya Lim Hui Ying berkata kerajaan juga akan melaksanakan penambahbaikan polisi tersebut melalui proses automasi disusuli pengeluaran panduan amalan terbaik untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan PEP.
“Ini juga termasuk memberi contoh-contoh yang lebih spesifik berkaitan kategori individu, jawatan atau fungsi yang dikenal pasti sebagai berstatus PEP, serta penambahbaikan proses usaha wajar pelanggan yang dipertingkatkan (ECDD),” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkenaan kuasa kerajaan dalam mengatasi isu status PEP yang ditetapkan oleh institusi kewangan di negara ini.
Lim berkata keperluan untuk mengenal pasti PEP serta melaksanakan langkah-langkah ECDD, diwujudkan berdasarkan piawan antarabangsa yang dikeluarkan oleh sebuah organisasi global iaitu Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF).
Katanya piawaian ini perlu dipatuhi oleh semua institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) termasuk institusi perbankan sama ada di dalam atau di luar negara.
“Keperluan untuk melaksanakan ECDD tidak hanya terpakai kepada PEP tetapi semua pelanggan dikenal pasti berisiko tinggi.
“Pelaksanaan ECDD bertujuan bagi mendapatkan maklumat dan kefahaman secara menyeluruh mengenai pelanggan tersebut dan seterusnya memelihara sektor kewangan negara daripada sebarang risiko disalah gunakan untuk aktiviti jenayah kewangan,” katanya.
Menurutnya, jika Malaysia tidak mematuhi piawaian ini, negara juga akan terdedah kepada risiko penarafan yang tidak memuaskan oleh FATF.
“Secara khusus ini akan mengakibatkan ketidakpatuhan teknikal terhadap piawaian FATF yang menetapkan keperluan langkah-langkah spesifik yang dijalankan ke atas pelanggan berstatus PEP,” tambah beliau.
-- BERNAMA