KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan tindakan menghalang akses terhadap 3,553 laman web yang didapati melanggar perundangan di bawah Akta Hak Cipta 1987 berkaitan aktiviti cetak rompak sejak 2021 hingga Oktober lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang menjawab bagi pihak KPDN berkata tindakan itu antaranya melibatkan laman web yang menyiarkan karya hak cipta berjudul 'Syurga Itu Bukan Mudah', 'Jangan Lupa Janji' dan 'Chinta Wrong Direction'.
Beliau berkata selain itu, terdapat 40 tindakan halangan akses dilakukan terhadap laman web melakukan pelanggaran berkaitan penjualan barangan tiruan atau perkhidmatan secara dalam talian atau fizikal yang membawa kepada tindakan penguatkuasaan kesalahan jenayah.
"Kesalahan ini boleh disabitkan denda tidak kurang RM1 juta atau penjara bagi tempoh tidak melebihi lima tahun di bawah Seksyen 99 hingga Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai jumlah laman web yang dihalang akses kerana pelanggaran hak harta intelek serta sama ada Program Cyber Copyright Enforcement (CyCore) masih dilaksanakan.
Dr Zaliha berkata program CyCore dilaksanakan KPDN sejak 2021 sehingga kini bertujuan mewujudkan satu platform kerjasama antara kementerian itu dengan pemilik hak cipta bagi membanteras pengedaran cetak rompak digital melalui medium Internet berdasarkan peruntukan perundangan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Usaha ini merupakan kerjasama antara KPDN dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), penyedia perkhidmatan Internet (ISP), industri kreatif dan pemilik hak cipta tempatan dalam melaksanakan tindakan halangan akses terhadap laman web yang didapati mengedarkan salinan langgaran melibatkan karya filem tempatan yang baharu dan pertama kali ditayangkan dalam bentuk digital melalui medium Internet," katanya.
-- BERNAMA