AM

PM ANWAR SERAH SUMBANGAN KEPADA 50 KIR TERKESAN BANJIR DI TANGKAK

09/12/2024 04:44 PM

TANGKAK, 9 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sumbangan kepada 50 ketua isi rumah (KIR) terkesan banjir di Tangkak di sini hari ini.

Sumbangan disampaikan menerusi Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri M. Shanmugam di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Penghulu Long.

Shanmugam ketika ditemui pemberita berkata bantuan dihulurkan Perdana Menteri bertujuan meringankan beban ditanggung mangsa banjir yang terkesan dengan bencana itu.

"Kita bantu mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira agama atau bangsa selaras dengan konsep Malaysia MADANI.

"Kita akan teruskan usaha begini di semua tempat terkesan banjir dengan kerjasama daripada agensi kerajaan Persekutuan dan negeri," katanya sambil menambah bantuan diberikan berupa kit makanan dan selimut.

Hadir sama, Pentadbir Tanah Daerah Tangkak Ab Rahman Mohamed@Ismail dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Lt Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Sumbangan pada hari ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan SKM.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan