AM

BANTUAN RM1,000 KEPADA 20 PEMILIK KENDERAAN DITENGGELAMI BANJIR KILAT DI PRESINT 11 PUTRAJAYA

09/12/2024 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Sebanyak 20 pemilik kenderaan yang ditenggelami air dalam kejadian banjir kilat di Presint 11 Putrajaya semalam, masing-masing menerima bantuan RM1,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata Perbadanan Putrajaya juga akan membuat parkir interim yang memuatkan kira-kira 200 kenderaan sebagai tindakan jangka pendek dan meminta pihak perbadanan menyelesaikannya dalam tempoh dua minggu.

"Selain itu, saya minta Perbadanan Putrajaya untuk menyediakan sistem amaran dengan penggunaan siren dan amaran kepada penduduk di kawasan itu untuk alihkan kenderaan dengan segera.

"Ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan Internet of Things (IoT) iaitu sensor akan dipasang di petak-petak penyelenggaraan saliran di seluruh Putrajaya untuk mengesan tahap ketinggian air," katanya dalam kenyataan di laman Facebook hari ini. 

Dr Zaliha berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian banjir kilat itu ketika berada di Labuan dan merupakan yang pertama berlaku di kawasan berkenaan berikutan taburan hujan tinggi iaitu tiga kali ganda daripada taburan hujan biasa. 

"Dilaporkan 20 kenderaan rosak kesan daripada banjir kilat ini. Kawasan perumahan ini agak besar. Ada kira-kira 2,500 rumah dengan anggaran penduduk sekitar 10,000 orang penduduk," katannya yang turut hadir bagi melihat sendiri kawasan kejadian itu, hari ini.

Menurut Dr Zaliha, punca banjir disebabkan kesan hujan lebat di bahagian hulu dan air telah naik dari Sungai Anak Gajah menyebabkan aliran air tersekat mengakibatkan air melimpah di kawasan yang lebih rendah.

"Aliran air di kawasan perumahan ini menggunakan sistem pembentung. Walaupun besar keluasannya, tetapi dalam keadaan cuaca tidak menentu, hujan yang lebat tiba-tiba menyebabkan ia tidak dapat menampung kapasiti air terlalu banyak," katanya. 

Beliau berkata untuk jangka masa panjang, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat kembali sistem saliran berkenaan.

"Jika didapati memang tidak dapat menampung, tindakan akan diambil untuk menambah baik bagi mengelakkan perkara sama berulang," katanya. 

Beliau berharap sistem yang lebih maju untuk pembangunan baru diteroka, seperti konsep sponge city, on-site stormwater detention (OSD) atau kolam takungan bawah tanah namun ia memerlukan kajian teliti sebelum dilaksanakan sebagai dasar baharu pembangunan di Putrajaya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan