KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek perumahan khususnya rumah mampu milik, mesti memenuhi aspek manusia dan keperluan asas rakyat.
Beliau berkata, dalam mencapai kemajuan pembangunan, adalah penting untuk memastikan tidak berlaku kesenjangan dalam memenuhi keperluan asas perumahan untuk masyarakat secara keseluruhan.
Anwar berkata pembangunan perumahan mampu milik bukan hanya bertujuan menyediakan kemudahan yang memberi keselesaan kepada rakyat, tetapi ia juga perlu berkualiti tinggi.
"Ingin saya singgung…kita semua mahu menyediakan pertumbuhan pencapaian ekonomi, tetapi kita harus ingat bahawa pembangunan mesti berteraskan kemanusiaan.
"Kalau (perumahan) orang kaya ada kolam yang agak bermutu tinggi, sekurang-kurangnya untuk rakyat (di rumah mampu milik) ada kolam yang boleh dimanfaatkan. Sekurang-kurangnya kalau (perumahan) orang kaya ada padang golf, rakyat ada padang permainan.
"Kita beri ruang (kemudahan perumahan) yang kita mampu, supaya mereka rasa sebahagian daripada masyarakat dan negara mengiktiraf peranan mereka," kata beliau ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru MADANI antara Penang Development Corporation (PDC) dan PDC Properties (PDCP) dan SkyWorld di ibu negara hari ini.
Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Anwar berkata di sebalik meraikan kejayaan negara dalam pelbagai bidang, kejayaan itu tidak akan bermakna sekiranya projek pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.
"Saya singgung soal kemajuan cip mikro, kecederdasan buatan (AI) yang tentunya dikuasai oleh golongan mahir, namun tiada kejayaan yang tercapai tanpa usaha golongan seperti tukang bersih, tukang masak, juruteknik dan tukang cuci.
"Sebab itu, dalam membicarakan soal pembangunan, kita tidak seharusnya menyisihkan keperluan semua elemen ini (kemanusiaan), kerana tanpa peringatan, kita akan mudah lupa," katanya.
Pada majlis tersebut, Anwar bersama Nga dan Chow turut menyaksikan pemeteraian perjanjian itu melibatkan pihak yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif PDC Properties Ir Ismail Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang Datuk Aziz Bakar, Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Skyworld Development Berhad Datuk Seri Ng Thien Ping dan Ketua Pegawai Eksekutif Skyworld Development Berhad Lee Chee Seng.
Projek yang akan dibina melibatkan kawasan Seberang Jaya dan Batu Kawan, di Pulau Pinang itu bakal menyediakan 35,000 unit Rumah Mampu Milik dan Rumah Bakat Baru MADANI dengan harga antara RM225,000 dan RM420,000. Jangkaan tempoh pembinaan keseluruhan projek ini adalah selama 10 tahun.
Mengulas mengenai projek itu, Anwar berharap kerajaan Pulau Pinang dengan pihak Pemaju dapat menyelesaikan urusan kelulusan projek dalam tempoh kurang 45 hari.
Beliau juga menegaskan agar projek perumahan rakyat ini, tidak terganggu atau terjejas akibat kelewatan urusan kelulusan.
"Dalam peluncuran Projek Residensi MADANI di Taman Desa Kuala Lumpur, saya beri tempoh 45 hari untuk selesai semua dokumen kelulusan… boleh pula? biasanya enam bulan.
"Oleh itu, saya akan luncurkan projek ini sekitar akhir Januari atau minggu pertama Februari depan…maknanya kurang dua bulan semua kelulusan mesti dilakukan, masalah diselesaikan dan dalam tempoh dua minggu projek boleh mula," katanya.
-- BERNAMA