TANAH MERAH, 10 Dis (Bernama) -- Penduduk di jajahan Tanah Merah bersiap sedia untuk ke pusat penempatan sementara (PPS) berdekatan mengikut arahan pihak berkuasa dan keselamatan berikutan air naik semula di rumah mereka buat kali kedua.
Seorang warga emas dari Kampung Lawang, Batu Gajah, Sapinah Musa, 70, terpaksa berdepan banjir setelah hujan lebat semalam.
"Sejak tinggal di kampung ini hampir 50 tahun lepas, banjir kali kedua ini berlaku apabila air naik cepat sedalam 0.3 meter pada 4.30 pagi hari ini.
"Penat lelah bersih rumah akibat banjir dua minggu lepas masih terasa, tambahan pula saya tinggal seorang diri di rumah memandangkan anak-anak semua kerja di luar Kelantan," katanya.
Sapinah berkata masih banyak barang tidak sempat dibersihkan semasa banjir gelombang pertama, termasuk barangan elektrik seperti mesin basuh dan peti ais.
Sementara itu, Wan Rohani Merasor, 60, mendakwa banjir gelombang kedua berlaku disebabkan pembinaan pembetung kecil di laluan air ke sungai Kampung Lawang, Batu Gajah menjadi punca kawasan kampung mudah banjir semasa hujan lebat.
Tinjauan Bernama di perkampungan masyarakat Siam Kampung Muring turut dinaiki air semula terutama di kawasan rendah.
Seorang penduduk Eh Poon, 50, berkata hujan lebat menyebabkan kawasan kampung dinaiki air semula disebabkan limpahan sungai terletak 100 meter dari situ.
"Air naik dengan cepat pada 5 pagi sehingga paras satu meter menyebabkan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga kerana risau banjir berlaku secara mendadak.
"Semasa banjir gelombang pertama, paras air melepasi lebih satu meter menyebabkan kami terpaksa berpindah ke PPS dan ke rumah saudara-mara selain barangan serta perabot sudah diangkat ke tempat lebih tinggi bagi keselamatan harta benda," katanya.
-- BERNAMA