KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Hala tuju pembangunan industri francais, pengagihan bantuan kepada petani terjejas banjir serta status penubuhan Ombudsman Malaysia, antara perkara yang akan dibincangkan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Young Syefura Othman (PH-Bentong) meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan statistik usahawan francais pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Young Syefura juga ingin tahu mengenai hala tuju pembangunan industri berkenaan melalui penyelarasan dan kawal selia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ke persada antarabangsa, berikutan Malaysia sebagai pengerusi Mesyuarat Tahunan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC).
Dalam sesi sama, Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengemukakan soalan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, mengenai mekanisme pengagihan bantuan dirancang kementerian itu untuk memastikan petani terjejas akibat banjir benar-benar mendapat bantuan tanpa penangguhan.
Idris turut bertanya mengenai langkah kerajaan dalam menangani isu kemungkinan ketirisan atau ketidakadilan dalam proses pemberian bantuan.
Pada sesi soal jawab pula, Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) meminta Perdana Menteri menyatakan status penubuhan Ombudsman Malaysia dan garis masa yang ditetapkan bagi pelaksanaan usaha berkenaan.
Turut menarik perhatian, Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) akan bertanya kepada Menteri Pendidikan antaranya berhubung perancangan kementerian itu untuk menjadikan pembelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) lebih menarik untuk pelajar sekolah.
Usai sesi berkenaan, Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia, masing-masing bagi bacaan kali pertama oleh Menteri Komunikasi.
Persidangan juga dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Perkongsian Data 2024, masing-masing bagi bacaan kali kedua.
Persidangan Dewan Rakyat akan melabuhkan tirainya hari ini selepas bersidang selama 35 hari bermula 14 Okt.
-- BERNAMA