BEIJING, 12 Dis (Bernama-CMG) -- Jumlah import dan eksport barangan China mencapai RMB39.79 trilion (RM24.3 trilion) dalam 11 bulan pertama tahun ini, naik 4.9 peratus tahun ke tahun.
Antaranya eksport menokok 6.7 peratus manakala import naik 2.4 peratus, menurut data statistik yang diumumkan Pentadbiran Kastam Am China, pada Selasa.
Dalam tempoh itu, eksport produk mekanikal dan elektrik yang berteknologi tinggi berjumlah RMB13.7 trilion, mewakili hampir 60 peratus daripada keseluruhan eksport.
China bukan sahaja membekalkan produk bermutu dengan harga berpatutan kepada seluruh dunia, malah juga meluaskan pengimportan untuk berkongsi pasaran gergasi di negara ini dan peluang baharu dengan dunia.
Dalam 11 bulan pertama 2024, pengimportan produk tenaga dan mineral China masing-masing bertambah sebanyak 6.3 peratus dan 4.3 peratus, sementara pengimportan produk mekanikal dan elektrik mencapai RMB6.35 trilion, iaitu menokok sebanyak 7.5 peratus.
Dalam tempoh yang sama, jumlah import dan eksport China ke negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) mencapai RMB18.74 trilion, naik 6 peratus, antaranya pengimportan RMB8.22 trilion, naik 3.4 peratus.
Berikutan langkah China meluaskan perdagangan luar, pengguna di negara ini mempunyai lebih banyak pilihan, manakala syarikat asing juga boleh memperoleh peluang dan dividen daripada pasaran China.
Pertumbuhan perdagangan luar China yang mantap mencerminkan ekonomi China yang berdaya tahan dan dinamik, sekali gus boleh membawa lebih banyak faedah dan faktor penentu kepada dunia.
--BERNAMA-CMG