AM

MAIWP PERUNTUK RM1.67 BILION, ANGGARAN PERBELANJAAN 2025 - MOHD NA’IM 

12/12/2024 10:59 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM1.67 bilion bagi tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 4.43 peratus berbanding tahun lepas berjumlah RM1.60 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata peningkatan perbelanjaan itu, selari dengan tujuh fokus utama MAIWP antaranya pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf, pemerkasaan modal insan melalui pendidikan dan pembangunan digital MAIWP IR4.0 (Revolusi Industri 4.0).

"Anggaran perbelanjaan sebanyak RM1.67 bilion merangkumi perbelanjaan agihan sebanyak RM1.34 bilion, pengurusan (RM246 juta), manakala pembangunan (RM87 juta).

"Anggaran pendapatan MAIWP pada 2025 berjumlah RM1.56 bilion meningkat sebanyak 12 peratus berbanding tahun ini sebanyak RM1.395 bilion," katanya pada majlis pengumuman Bajet MAIWP 2025 di sini hari ini.

Pada tahun depan beliau berkata MAIWP menyasarkan kutipan zakat meningkat kepada RM1.2 bilion melalui Pusat Pungutan Zakat MAIWP.

-- LAGI

 

MOHD NA’IM-MAIWP 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

 

"Lain-lain anggaran pendapatan MAIWP pada tahun hadapan terdiri daripada aktiviti sewaan, yuran pengajian, pelaburan dan terimaan peruntukan geran daripada Kementerian Kewangan," katanya.

Mohd Na'im berkata dalam usaha membantu asnaf yang berdepan dengan masalah kewangan, MAIWP juga telah memperluas skop Skim Bantuan Menyelesaikan Hutang dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). 

"Inisiatif ini memberi peluang kepada asnaf yang layak untuk menyelesaikan hutang pinjaman mereka dan memulakan langkah baharu dalam kehidupan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Na’im turut mengumumkan pemberian insentif khas sebanyak RM500 kepada asnaf, melibatkan seramai 33,000 penerima di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang akan disalurkan selewat-lewatnya 31 Dis ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan