EKONOMI

BANK MUAMALAT, AMANAHRAYA SASAR 15,000 PENDAFTARAN BAHARU KAD KREDIT-I VISA PLATINUM

12/12/2024 11:29 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Amanah Raya Bhd (AmanahRaya) menyasarkan 15,000 pendaftaran baharu bagi kad kredit-i Visa Platinum, jenama bersama kedua-dua bank itu pada tahun pertama pelancarannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata produk itu menyasarkan golongan dalam lingkungan umur 25 tahun ke atas dan bekeluarga yang merancang untuk masa depan.

"Kad kredit inovatif ini membolehkan pelanggan dan bakal pelanggan AmanahRaya mendapatkan khidmat mereka dengan pembayaran ansuran menggunakan kad kredit.

"Selain diskaun sehingga 10 peratus bagi produk terpilih Amanah Raya, di samping menikmati pelbagai keistimewaan lain," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran kad tersebut, di sini hari ini.

Khairul berkata kad kredit patuh Syariah itu adalah inisiatif untuk memudahkan masyarakat merancang dan menguruskan kewangan serta aset mereka dengan lebih bijak. 

Menurutnya, Bank Muamalat komited menyediakan penyelesaian kewangan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya dalam aspek pengurusan harta dan legasi.

"Dengan menyediakan kemudahan kredit untuk pengurusan harta melalui AmanahRaya, kami berharap lebih ramai individu tampil melibatkan diri dalam perancangan harta pusaka, sekali gus mengurangkan kesulitan pewarisan dan memupuk kestabilan ekonomi," katanya.

Kad kredit tersebut menawarkan perkhidmatan kewangan komprehensif untuk menggalakkan pemegang kad memulakan perancangan harta selain menawarkan pelbagai manfaat yang disesuaikan bagi menyokong pemilik harta.

Antaranya termasuklah pengecualian yuran tahunan tahun pertama, rebat tunai sebanyak 0.5 peratus, pelan pemindahan baki, perlindungan Takaful percuma pada baki tertunggak kad kredit-i dan perlindungan Takaful Percuma bagi kemalangan perjalanan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata pihaknya sentiasa memainkan peranan menyokong dan merealisasikan aspirasi menjadi peneraju utama dalam industri perancangan warisan menerusi perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat. 

"Perkhidmatan perancangan pewarisan bukan sahaja memenuhi keperluan kewangan pelanggan, malah memberikan mereka ketenangan fikiran dengan perancangan awal kerana harta mereka bakal diuruskan oleh AmanahRaya," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan