YOGYAKARTA, 13 Dis (Bernama) -- Pameran Pelancongan Malaysia 2024 anjuran Tourism Malaysia Jakarta yang bermula pada Jumaat di Yogyakarta, merupakan satu usaha penting dalam memperkukuhkan kerjasama pelancongan antara Malaysia dan Indonesia.
Ini adalah kali pertama pameran pelancongan ini diadakan di Yogyakarta, sebuah bandar yang terkenal dengan warisan seni dan budaya, menurut Pengarah Tourism Malaysia Jakarta, Hairi Mohd Yakzan.
“Kami berasa bangga untuk memulakan langkah penting ini di Yogyakarta, sebuah bandar yang bukan sahaja melambangkan seni dan tradisi, tetapi juga mengukuhkan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia,” katanya pada majlis perasmian.
Acara itu yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Ejen Pelancongan Indonesia (ASTINDO) dan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Indonesia (ASITA), telah dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin.
Dalam ucapan perasmiannya, Syed Md Hasrin yakin pameran ini akan menjadi platform penting untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan hubungan rakyat antara kedua-dua negara.
“Tahun depan, Malaysia secara rasmi akan mengambil alih peranan Pengerusi ASEAN 2025 dan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 pada tahun berikutnya. Oleh itu, manfaatkan peluang ini untuk menerokai negara kami dengan lebih mendalam,” katanya.
Beliau turut menyatakan Malaysia menawarkan pengalaman pelancongan unik dengan penekanan yang tinggi terhadap kemampanan bagi memastikan masa depan industri ini terjamin.
Sepanjang tiga hari pameran ini diadakan di Jogja City Mall, pengunjung boleh menikmati pelbagai pakej pelancongan eksklusif, diskaun, dan tawaran daripada pengendali pelancongan terkemuka. Acara ini dijangka menarik kehadiran ramai penduduk tempatan yang berhasrat memilih Malaysia sebagai destinasi percutian mereka.
Antara aktiviti menarik yang disediakan ialah cabutan bertuah, demonstrasi teh tarik, dan persembahan tarian tradisional Malaysia.
Tourism Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dan memainkan peranan penting dalam industri pelancongan antarabangsa.
Tahun Melawat Malaysia 2026 akan memberi tumpuan kepada kemampanan sektor pelancongan negara selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs).
Agensi itu juga menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan bertujuan mempromosikan rantau ini sebagai destinasi pelancongan bersepadu melalui inisiatif Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025.
-- BERNAMA