EKONOMI

SEKTOR KOMODITI MALAYSIA BERKEMBANG 2024 WALAU BERDEPAN CABARAN GLOBAL

15/12/2024 10:45 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

 

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Sektor komoditi Malaysia menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan pada 2024 walaupun berdepan cabaran global, disokong oleh eksport yang kukuh dan dinamik pasaran yang menggalakkan.

Minyak sawit, sektor utama bagi ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada 2024.

Hasil tandan buah segar (FFB) dalam sektor ladang meningkat sebanyak 8.1 peratus, berkembang kepada 13.94 tan sehektar daripada 12.89 tan sehektar pada 2023.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak sebanyak 5.5 peratus secara purata, mencapai RM4,047.50 setiap tan dari Januari hingga Oktober 2024, berbanding RM3,835.50 setiap tan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Kenaikan ini didorong oleh permintaan eksport yang lebih kukuh, kelemahan ringgit juga meningkatkan kemampuan membeli bagi pembeli dan tahap stok simpanan minyak sawit lebih rendah, yang kekal di bawah dua juta tan.

Eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit meningkat sebanyak 11.9 peratus tahun ke tahun kepada 22.30 juta tan pada 10 bulan pertama 2024, menjana pendapatan sebanyak RM89.39 bilion iaitu peningkatan sebanyak 14.5 peratus berbanding RM78.10 bilion pada tahun lepas.

Minyak sawit mencatatkan jumlah eksport terbesar iaitu 14.05 juta tan, naik sebanyak 13.7 peratus berbanding 12.36 juta tan yang dicatatkan pada Januari hingga Oktober 2023.

India mengekalkan kedudukannya sebagai pasaran minyak sawit terbesar Malaysia sepanjang tempoh yang dikaji dengan menyumbang 2.67 juta tan atau 19.0 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit keseluruhan.

 

Kemenangan Malaysia ke atas sekatan EU

Kemenangan Malaysia dalam kes tuntutan di bawah Akta Delegasi Kesatuan Eropah (EU) yang mendiskriminasikan biofuel minyak sawit, menandakan satu pencapaian penting dalam industri minyak sawit negara.

Kemenangan ini menggambarkan usaha yang tersusun rapi oleh kementerian, organisasi dan agensi Malaysia.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata keputusan ini membuktikan pendirian Malaysia dan akan memastikan keadilan untuk peniaga biodiesel dan pekerja.

Pada 19 Jan, 2021, Malaysia memulakan perundingan pertikaian dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan EU berhubung langkah-langkah yang menjejaskan minyak sawit dan biofuel berasaskan tanaman sawit.

Dalam laporan akhirnya yang dikeluarkan pada 5 Mac 2024, panel WTO menyimpulkan Akta Delegasi EU yang menyekat biofuel minyak sawit adalah bersifat diskriminasi.

Panel itu mendapati kesilapan EU dalam menggunakan perubahan guna tanah secara tidak langsung (ILUC) sebagai asas untuk mengharamkan biofuel minyak sawit selain mengkritik pendekatan EU untuk memberitahu dan berunding dengan ekonomi lain sebelum melaksanakan langkah perdagangan baharu.

 

Penangguhan EUDR

Keputusan EU pada 16 Okt, 2024 untuk menangguhkan pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) selama 12 bulan memberikan kelegaan yang sangat diperlukan bagi sektor minyak sawit Malaysia.

EUDR yang mewajibkan komoditi dijual di EU mestilah bebas dari penyahhutanan selain berdepan dengan cabaran pematuhan yang besar bagi pengeluar minyak sawit.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bagaimanapun mengalu-alukan penangguhan tersebut dengan berkata ia memberi lebih masa kepada pihak berkepentingan untuk memenuhi keperluan yang kompleks.

Kos pematuhan dianggarkan sekitar US$650 juta setiap tahun dengan US$260 juta memberi impak langsung kepada pekebun kecil.

Johari mengumumkan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan menyokong dan membantu pekebun kecil kelapa sawit tempatan untuk memenuhi tarikh akhir EUDR yang baharu iaitu pada 30 Dis, 2025.

Kerajaan akan membantu pekebun kecil mematuhi dalam empat bidang iaitu bebas penyahhutanan, kebolehkesanan, hak milik tanah yang sah dan amalan buruh yang baik, katanya.

Namun, beliau mengakui bahawa kekurangan tenaga kerja kekal sebagai satu daripada cabaran terbesar yang tidak dapat diselesaikan dalam industri minyak sawit Malaysia.

Industri ini terus banyak bergantung kepada tenaga buruh manual, terutamanya dari pekerja asing untuk aktiviti penuaian dan pengumpulan dalam ladang.

Menurut MPOB, syarikat perladangan kini berdepan masalah kekurangan hampir 38,000 pekerja dengan aktiviti penuaian dan pengumpulan dalam ladang yang menyumbang kira-kira 55 peratus daripada jumlah kekurangan tersebut.

"2024 dijangka menjadi harapan dalam isu ini, tetapi ia berakhir dengan cara yang berbeza," kata MPOB.

Pekerja asing kini menyumbang sebanyak 76 peratus daripada tenaga kerja dalam sektor ini.

 

Getah

Sektor getah Malaysia menunjukkan prestasi yang kukuh pada 2024, menyumbang RM24.47 bilion kepada hasil eksport yang mencatatkan peningkatan sebanyak 19.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Nilai ini mewakili 2.2 peratus daripada jumlah pendapatan eksport Malaysia yang bernilai RM1.12 bilion.

Eksport getah asli bernilai RM5.54 bilion, mencerminkan peningkatan sebanyak 29.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, yang didorong terutamanya oleh harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) yang lebih tinggi, disokong oleh keadaan bekalan yang terhad dan permintaan global yang lebih kukuh terhadap getah asli.

Eksport produk getah meningkat sebanyak 15.1 peratus, mencapai RM17.43 bilion, yang kebanyakannya didorong oleh peningkatan 24.1 peratus dalam eksport sarung tangan getah, berjumlah RM11.0 bilion.

LGM berkata pengeluaran getah asli Malaysia dalam sembilan bulan pertama 2024 berjumlah 268,555 tan, meningkat 5.8 peratus berbanding 253,900 tan yang dihasilkan dalam tempoh yang sama pada 2023.

Pengeluaran getah asli pada 2024 dijangka mencecah 350,000 tan, sedikit bertambah berbanding tahun sebelumnya.

Persatuan Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) mengunjurkan pengeluaran getah asli global untuk 2024 akan mencapai 14.528 juta tan, berkembang sebanyak 4.5 peratus berbanding 2023, didorong oleh harga getah asli yang meningkat.

Selain itu, aktiviti hiliran getah menunjukkan perkembangan positif pada 2024, pulih daripada penurunan pada 2023.

Dari Januari hingga September, hasil eksport produk getah meningkat sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan sarung tangan getah menunjukkan pertumbuhan sebanyak 24 peratus.

Secara ketara, sarung tangan getah menyumbang 63 peratus daripada jumlah eksport produk getah.

Walaupun terdapat trend positif ini, pengeluar produk getah Malaysia terutamanya yang menghasilkan produk berasaskan getah kering, terus berdepan cabaran termasuk isu tenaga kerja, keperluan penyesuaian teknologi dan persaingan global yang semakin meningkat.

 

Sokongan Kerajaan untuk Industri Getah

KPK dan LGM komited untuk mengubah industri getah negara melalui projek berimpak tinggi.

Satu daripada inisiatif utama adalah Projek Penyatuan Kawasan Getah yang bermatlamat untuk memanfaatkan 420,000 hektar tanah yang kini tidak produktif di seluruh negara.

Inisiatif utama lain adalah projek Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) yang bermula pada 1 Julai 2024 dan dilancarkan secara rasmi pada 7 Okt, 2024 oleh Menteri Perladangan dan Komoditi.

Projek MSNR direka untuk memastikan industri getah Malaysia memenuhi piawaian kelestarian antarabangsa, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta EUDR.

Bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh, industri semakin melabur dalam teknologi mekanisasi dan automasi.

Mengintegrasikan teknologi pintar dan Internet Pelbagai Benda (IoT) ke dalam proses pembuatan dijangka dapat meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi.

Selain itu, industri getah memberi tumpuan kepada kelestarian dengan memasukkan teknologi dan proses hijau.

Terdapat penekanan yang semakin meningkat untuk meminimumkan kesan alam sekitar pengeluaran getah, dengan memberi tumpuan kepada amalan lestari, mengurangkan sisa dan meningkatkan kecekapan tenaga dalam pemprosesan.

 

Prospek Sektor Komoditi Malaysia

Prospek untuk sektor minyak sawit Malaysia pada 2025 nampaknya menjanjikan tetapi kompetitif, terutamanya dari segi permintaan kerana Indonesia dijangka meningkatkan penggunaan MSM domestiknya secara signifikan.

Dari segi bekalan, Malaysia terus berdepan cabaran dalam memulihkan pengeluaran minyak sawit kepada tahap sebelum COVID-19, namun industri tetap optimis pengeluarannya akan meningkat.

Sementara itu, industri getah Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan sederhana pada 2025.

Keyakinan ini berdasarkan jangkaan bekalan berlebihan dalam pasaran sarung tangan, namun berkurang pada 2024 sekali gus menyebabkan sedikit peningkatan harga getah asli.

Kebimbangan mengenai pematuhan dengan EUDR dan dasar perdagangan yang berkembang di antara Amerika Syarikat dengan China akan memberi impak besar terhadap aliran eksport getah asli Malaysia pada tahun-tahun akan datang.

Harga purata Getah Malaysia GMM 20 pada 2025 dijangka berada pada 810.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan