SEREMBAN, 15 Dis (Bernama) -- Bekalan dua gol yang dibawa balik selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) belum mencukupi buat Skuad Penyu mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala Malaysia, kata Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali.
Sehubungan itu beliau menuntut anak buahnya untuk terus mempamerkan aksi cemerlang dan kekal fokus dalam 90 minit pada aksi timbal balik menentang skuad Jang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 21 Dis ini.
“Dua gol tidak semestinya kita bertahan bermain di Gong Badak (Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin), kita akan terus bermain menyerang, apa kita rancang saya harap pemain dapat tambahkan lagi gol di Gong Badak nanti.
“Jadi apa pun masih berbaki 90 minit di Kuala Terengganu, kita akan perbaiki, kita ada masa seminggu ini untuk perbaiki semua aspek,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan semalam.
Badrul Afzan turut memuji corak permainan yang ditonjolkan anak buahnya termasuk meraih gol awal pada separuh masa pertama meskipun berdepan cabaran cuaca yang agak panas sehingga sedikit mengganggu rentak perlawanan.
“Cuaca sedikit panas di sini, tetapi di Kuala Terengganu, saya jangka kita akan bermain dalam keadaan hujan, jadi kami akan bersiap sedia, dengan dua gol yang kita bawa, saya harap ia dapat memberi semangat dan motivasi kepada pemain,” katanya.
Dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi itu, TFC membawa bekalan selesa 2-0 selepas menewaskan NSFC hasil jaringan Muhammad Safawi Rasid dan jaringan penalti pemain import Nelson Bonilla Sanchez.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih NSFC K.Nanthakumar berkata walaupun belum meraih sebarang kemenangan di laman sendiri setakat ini namun pasukannnya tidak akan berputus asa dan akan terus memperbaiki kelemahan.
“Tiap-tiap perlawanan kita cuba untuk menang, tetapi keputusan tidak menyebelahi kita, itu yang menjadi tanda tanya, bagaimanapun kita akan terus mencuba untuk perlawanan akan datang di laman sendiri,” katanya.
Mengenai perlawanan suku akhir kedua menentang TFC nanti beliau berkata akan terus mencuba sehabis baik dan memberikan tentangan sengit selain turut menukar corak permainan pasukannya.
-- BERNAMA