AM

190 SPESIES BURUNG DIREKODKAN DI TAIPING SEJAK 2017

15/12/2024 08:10 PM

TAIPING, 15 Dis (Bernama) -- Sebanyak 190 spesies burung berjaya direkodkan sepanjang lima tahun penganjuran Taiping Bird Week di beberapa lokasi sekitar bandar ini.

Timbalan Presiden Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) Ismail Mamat berkata daripada jumlah itu, lebih 90 peratus yang direkodkan terdiri dalam kalangan burung tempatan manakala bakinya adalah daripada spesies burung migrasi.

“Paling banyak direkodkan dalam kalangan burung tempatan adalah daripada spesies burung enggang, burung raja udang, bangau dan sebagainya. Kalau dalam kalangan burung migrasi pula, yang pernah direkodkan adalah burung hud hud yang boleh ditemukan di Eropah, Asia, Utara Sahara dan Afrika.

“Semua spesies ini dijumpai di bandar Taiping sendiri membabitkan tiga lokasi iaitu Taman Tasik Taiping, Bukit Larut dan Kuala Sepetang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Program Bird Week 2024 (5.0) di Zoo Taiping hari ini.

Terdahulu, penutupan program itu yang berlangsung dari 13 Dis hingga hari ini telah disempurnakan oleh wakil penaung Program Bird Week 2024 iaitu Raja Sharuddin Rashid Sultan Idris.

Program anjuran Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan kerjasama NEST itu, yang bermula sejak 2017 turut menawarkan aktiviti seperti pameran foto spesies burung, pameran pelbagai agensi serta pertandingan fotografi dan perlumbaan burung.

Mengulas lanjut, Ismail berkata kira-kira 120 peserta telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Fotografi Indahnya Taiping 2024 serta Pertandingan Taiping Bird Race kategori terbuka dan sekolah menengah.

Yang Dipertua MPT Khairul Amir Mohamad Zubir pula berkata program itu banyak memberi nilai tambah dalam memperkenal bandar Taiping sebagai antara lokasi tumpuan kepada peminat burung dari dalam dan luar negara.

“Sejak lima tahun penganjuran program ini, maklum balas yang diterima daripada pihak NEST sendiri menyatakan bahawa lebih 30 peratus daripada 600 spesies burung tempatan yang ada di negara ini terdapat di Taiping.

“Bagi saya, ini adalah keunikan yang mampu diperkasakan supaya menjadi produk pelancongan yang mampu pergi lebih jauh dan menjana pendapatan untuk kerajaan negeri,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan