AM

KEMPEN SHOPEE 12.12: PENJUAL, JENAMA TEMPATAN CAPAI PENINGKATAN JUALAN 30 KALI GANDA

16/12/2024 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Penjual dan jenama tempatan meraih pencapaian hebat semasa Shopee 12.12 Jualan Hari Jadi apabila mereka, yang kali pertama mengambil bahagian dalam kempen itu, merekodkan peningkatan jualan sebanyak 30 kali ganda berbanding hari biasa.

Shopee Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertumbuhan itu mencerminkan dedikasi penjual untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan memanfaatkan sepenuhnya ciri perniagaan platform itu termasuk Shopee Live, Shopee Affiliate dan baucar, yang membantu penjual berinteraksi dengan pelanggan dan meningkatkan jualan di seluruh negara.

"Jenama tempatan kegemaran rakyat Malaysia, seperti Dr. Cardin, ELGINI MALAYSIA, Indah Pesona Concept Store, Panda Eyes Official Store, dan Popi Official Store, menerima pesanan tertinggi semasa sesi penstriman langsung mereka," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, platform e-dagang itu turut menyatakan bahawa rakyat Malaysia menikmati penjimatan hebat sepanjang kempen, iaitu lebih RM400 juta penjimatan dicapai melalui program Dijamin Harga Terendah Shopee.

Menurut kenyataan itu, Shopee Live memainkan peranan utama dalam kempen 12.12, dengan lebih 51 juta Syiling Shopee telah ditebus ketika penstriman langsung, menunjukkan penglibatan dan nilai hebat dinikmati pengguna.

Kategori produk popular termasuk Kecantikan & Kesihatan (penjagaan kulit), Rumah & Gaya Hidup, dan Barangan Runcit & Haiwan Peliharaan, selain barangan seperti sandal wanita, powerbank dan baju kurung adalah antara kunci carian popular.

Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data di Shopee Malaysia Tan Ming Kit berkata kejayaan jualan 12.12 ialah bukti dedikasi penjual, ahli Shopee Affiliate dan pelanggan.

"Kami teruja untuk ulang tahun ke-10 akan datang, dengan lebih banyak program dan aktiviti menarik sedang dirancang. Kami sangat menghargai sokongan semua pihak yang terlibat dan komited untuk terus berkembang dan berjaya bersama," katanya.

Kempen 12.12 menyaksikan pertumbuhan memberangsangkan bagi perniagaan tempatan kerana Shopee dapat menghubungkan penjual dengan pembeli lebih luas, dengan jualan hebat direkodkan oleh perniagaan antaranya dari Johor Bahru, Johor; Kinta, Perak; Seremban, Negeri Sembilan; Kuantan, Pahang; dan Kota Bharu, Kelantan, memaparkan kesan platform itu di seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan