KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky hampir memberikan markah penuh kepada beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei susulan prestasi membanggakan pada Jelajah Dunia Akhir (WTF) Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kali ini.
Daripada 10, Rexy memberikan sembilan markah kerana beliau menyifatkan masih ada ruang yang perlu diperbaiki oleh gandingan menduduki ranking kelapan dunia itu, yang berjaya mencapai kejayaan luar biasa selaku naib juara pada perlawanan akhir, semalam.
Rexy berkata sejak dari awal kejohanan di Hangzhou Olympic Sports Centre, Tang Jie-Ee Wei telah bermain dengan lebih fokus dan tidak mensia-siakan peluang untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
"Sejak itu (selepas peringkat kumpulan), mereka bermain dengan penuh keyakinan dan percaya mampu pergi lebih jauh," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Tang Jie-Ee Wei mencipta sejarah sebagai gandingan pertama dari Malaysia berjaya melangkah ke final sejak WTF mula dipertandingkan pada 2018.
Hasrat mereka untuk merangkul juara WTF 2024 tidak kesampaian apabila tewas kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, dengan keputusan 18-21, 21-14, 17-21.
Susulan itu, Rexy berharap Tang Jie-Ee Wei dapat mengekalkan fokus mereka semasa latihan dengan terus memperbaiki beberapa aspek yang perlu ditingkatkan.
Sementara itu, Rexy memberi skala markah 7/10 kepada beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah berhubung persembahan di Hangzhou, setelah gagal mara ke separuh akhir.
Walaupun memenangi dua perlawanan pertama dan dilihat berpeluang menduduki tangga teratas Kumpulan B, Rexy yang juga bekas juara Olimpik berkata Aaron-Wooi Yik kehilangan kelebihan mereka dalam perlawanan terakhir menentang pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi.
Gandingan kelima dunia itu mengalami kekalahan mengejut dengan keputusan 16-21, 16-21 kepada Sabar-Moh Reza dalam pertemuan pertama mereka.
Keputusan itu menyaksikan mereka berakhir di tempat ketiga dalam Kumpulan B dan gagal melepasi peringkat kumpulan untuk kali kelima (2019, 2020, 2022, 2023 dan 2024).
Aaron-Wooi Yik memulakan kempen mereka di WTF 2024 dengan langkah cemerlang apabila menewaskan gandingan He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China, 21-17, 18-21, 21-15 dan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 19-21, 21-14, 21-15.
Bagi Pearly-Thinaah yang berada di ranking keenam dunia, Rexy berpendapat gandingan itu sepatutnya menang ke atas pasangan nombor satu Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A.
Pasangan Malaysia itu kehilangan kemenangan set pertama 21-13 dan tewas kepada Matsuyama-Shida, 17-21, 18-21, dalam dua set berikutnya.
Rexy merasakan bahawa Pearly-Thinaah tidak menikmati permainan mereka dalam perlawanan kedua, yang menyaksikan mereka tewas kepada pasangan India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, 19-21, 19-21.
Beliau berkata bahawa walaupun mereka berjaya mengembalikan momentum dalam perlawanan terakhir, ia sudah terlambat buat mereka dan pulang tanpa sebarang kemenangan selepas tewas sekali lagi kepada pasangan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China, 9-21, 21-18, 18-21, dalam perlawanan kumpulan terakhir.
Kejohanan terbabit turut menyaksikan beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, muncul naib juara selepas tewas kepada pasangan nombor tiga dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 17-21, 21-17, 11-21.
-- BERNAMA