PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi bagi membantu Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan.
Anwar berkata pelantikan itu dicadangkan oleh Malaysia dan dipersetujui oleh Thailand.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa pengalaman Thaksin sebagai seorang negarawan akan memberikan pandangan berharga kepada kepimpinan Malaysia dalam ASEAN tahun depan.
"Saya telah bersetuju untuk melantik (Thaksin) sebagai penasihat tidak rasmi saya dalam mempengerusikan ASEAN, bersama-sama pasukan anggota dari negara ASEAN dalam perkumpulan tidak rasmi.
"Terima kasih kerana bersetuju dengan perkara ini kerana kami perlu memanfaatkan pengalaman negarawan sedemikian," katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, di sini hari ini.
Thaksin berkhidmat sebagai Perdana Menteri Thailand dari 2001 hingga 2006.
Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan pengerusi ASEAN pada 1 Januari tahun depan, dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan", yang mencerminkan aspirasi Malaysia untuk memupuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
-- BERNAMA