GEORGE TOWN, 16 Dis (Bernama) -- Sebanyak 7,238 akaun pengguna di daerah Seberang Perai Selatan di sini akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 14 jam bermula 10 malam esok.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan memaklumkan gangguan bekalan air berjadual itu disebabkan penutupan sesalur 600mm bagi kerja-kerja pelencongan paip di Sungai Kerian, SPS untuk projek naik taraf jambatan oleh Jabatan Kerja Raya(JKR).
"Gangguan bekalan air berjadual bermula 10 malam esok hingga 12 tengah hari Rabu itu membabitkan 7,238 akaun pengguna di kawasan Jalan Besar Dato Keramat, Jalan Besar Permatang Keling, Jalan Sempadan dan Permatang Tok Mahat.
"Seterusnya kawasan yang turut mengalami gangguan bekalan air ialah Tanjung Berembang, Sungai Acheh, Sungai Udang, Sungai Chenaam dan Sungai Bakau," menurut kenyataan itu.
Menurut PBAPP, pengguna yang terjejas disarankan supaya menyimpan air yang mencukupi bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan berkenaan.
PBAPP akan mengemas kini status gangguan bekalan itu menerusi Facebook rasmi PBAPP Penang dari semasa ke semasa dan pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku.
-- BERNAMA