AM

AKADEMI REL PAHANG BERI PELUANG PEKERJAAN KEPADA GOLONGAN MUDA - WAN ROSDY

16/12/2024 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Penubuhan Akademi Rel Pahang bakal memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda khusus di negeri itu yang mengikuti kursus latihan ditawarkan, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata jaminan itu selaras dengan usaha strategik untuk memastikan tenaga kerja mahir mencukupi bagi pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada Dis 2026 dan beroperasi pada Jan 2027.

 “Kita sedia maklum di Pahang ada tujuh stesen Malaysia Rail Link (MRL) di bawah projek ECRL, dan untuk tujuan itu kerajaan negeri telah memperuntukkan RM5 juta bagi merealisasikan Akademi Rel Pahang ini. Akademi ini adalah yang pertama dalam negara.

“Dengan adanya akademi ini, kita melatih tenaga mahir anak muda dari segi kepakaran dalam bidang yang ditawarkan terutama berkait penyelenggaraan kereta api. Insya-Allah empat bulan dari sekarang kita akan adakan majlis pelancaran di Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP), Kuantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UCYP yang diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Muhammad Fauzi Mohd Zain dengan MRL Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MRL Sdn Bhd Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Lembaga Pengarah KYP Education Sdn Bhd Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Wan Rosdy berkata kira-kira 200 hingga 300 anak muda berusia 18 tahun ke atas yang berkelayakan dijangka terlibat bagi sesi pengambilan pertama pada suku pertama tahun depan.

“Secara keseluruhan kita sasarkan 2,000 pelajar tetapi kita akan ambil ikut kumpulan. Untuk kumpulan pertama, kita akan ambil 200 hingga 300 orang dan kita akan ambil secara berterusan bukan sahaja dari Malaysia khususnya Pahang, malah dari luar negara.

“Mereka ini dilatih untuk tujuan bekerja dengan MRL tetapi andainya ada lebihan (tenaga mahir), dan mereka dapat tawaran (dari syarikat) lain, jika MRL beri kebenaran maka mereka boleh pergi. Keutamaan mereka mesti bekerja dengan MRL kerana perjanjiannya juga dengan MRL,” katanya.

Beliau berkata kos bagi latihan selama enam bulan di akademi itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan peruntukan RM5 juta yang diumumkan menerusi Belanjawan Negeri Pahang 2025.
 -- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan