AM

TRAGEDI 2024 MERAGUT NYAWA, MENINGGALKAN KESAN EMOSI MENDALAM KEPADA RAKYAT

17/12/2024 12:17 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) – Tahun 2024 menyaksikan pelbagai tragedi yang menggoncang jiwa rakyat Malaysia dengan tragedi yang meragut nyawa dan meninggalkan kesan emosi yang mendalam.

Pada 23 April, Malaysia berduka apabila 10 perwira muda negara terkorban dalam insiden dua helikopter bertembung di udara sebelum terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, ketika menjalani latihan lintas hormat sempena Perbarisan Hari TLDM ke-90.

Mereka yang terkorban, adalah kesemua tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM, selepas helikopter tersebut masing-masing terhenmpas di kawasan kolam renang dan padang stadium di pangkalan tentera tersebut. 

Mangsa yang menaiki HOM-AW139 ialah Kdr Muhammad Firdaus Ramli, 44; Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, 37; Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, 35; PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun, 36; PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, 41; BM TNL Noor Rahiza Anuar, 39, dan LK JJM Joanna Felicia Rohna, 26 tahun.

Mangsa dari pesawat Fennec pula ialah Komander Muhamad Amir Mohamad, 44; Lt T Sivasutan, 31,  dan PW II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi, 41 tahun.

Jenazah semua mangsa diberikan penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi TLDM di Kem 23, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Ipoh pada 24 April lepas, sebelum dibawa pulang ke di kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan.

Laporan akhir Lembaga Siasatan nahas dua helikopter itu yang dikeluarkan pada hujung Mei lepas, merumuskan bahawa kemalangan berlaku selepas helikopter Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan ditetapkan serta memasuki laluan Helikopter HOM-AW139.

Laporan juga mengesahkan dua helikopter berada dalam keadaan layak terbang (airworthy) atau dibenarkan melakukan penerbangan dengan tahap kesihatan semua kru berada pada tahap terbaik untuk mengendalikan pesawat selain laporan autopsi menunjukkan tiada unsur 'hypoglycemia', dan f'atigue' serta tiada penggunaan bahan terlarang pada semua kru udara terlibat. 

Tahun ini, negara turut digemparkan dengan insiden kehilangan seorang wanita warganegara India yang terjerumus ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus, ketika berjalan di kaki lima Jalan Masjid India, di tengah-tengah ibu kota, pada 8.20 pagi, 23 Ogos lepas.

Jasad G Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, gagal ditemukan walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan dengan pelbagai teknik canggih seperti jetting, flushing, serta melibatkan Pasukan Penyelam di Air (PPDA) dan anjing pengesan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Setelah sembilan hari berusaha, operasi yang melibatkan 194 anggota penyelamat dan penguat kuasa itu, terpaksa dihentikan.

Keputusan untuk menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dibuat selepas pertimbangan teliti, dengan mengambil kira pandangan pakar serta isu keselamatan. Arus kuat dalam lurang kumbahan dan kehadiran gas beracun seperti hidrogen sulfida dan metana yang mudah terbakar, menimbulkan risiko besar kepada pasukan penyelamat.

Tanggal 18 Okt menjadi satu detik hitam bagi negara, khususnya rakyat Sarawak, apabila lima kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Jabatan Premier Sarawak lemas, selepas perahu panjang yang dinaiki mereka karam di Sungai Sarawak akibat dibadai gelombang yang terhasil daripada kapal nelayan yang datang dari arah bertentangan.

Mangsa yang terlibat ialah Mohamad Ikhmal Sama'ail, 34; Majurie Maharuf, 32; Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26; Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, 23; dan Mohamad Khairul Bidin, 26. Mereka merupakan sebahagian daripada 16 peserta yang sedang menjalani latihan perlumbaan perahu sebagai persediaan untuk menyertai Festival Regata Sarawak-Kuching Waterfront 2024 yang dijadualkan berlangsung pada November.

Sebanyak 11 lagi rakan pasukan berjaya menyelamatkan diri. Mayat lima mangsa terbabit ditemukan terapung di muara Sungai Sarawak dua hari kemudian, secara berperingkat bermula 6.16 pagi hingga 7.09 pagi, kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi kejadian. 

Pada 7 Julai lepas, negara dikejutkan dengan kisah menyayat hati dua beradik, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan Muhammad Luth Syauqi, 2 tahun, yang meninggal dunia selepas termakan keropok yang didakwa dicampurkan racun tikus untuk dijadikan umpan perangkap monyet liar. 

Kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah itu menyebabkan kanak-kanak tersebut koma dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum Muhammad Akil Syauqi menghembuskan nafas terakhir pada 10 Julai, diikuti adiknya, dua hari kemudian.

Di Dunggun, insiden yang menyayat hati berlaku pada 7.35 malam 9 Okt lepas, melibatkan tiga pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) maut manakala seorang lagi cedera, akibat dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV yang dipandu seorang wanita dipercayai kurang siuman, di hadapan universiti tersebut.

Rempuhan itu menyebabkan sebuah daripada motosikal mangsa diseret hampir 60 meter, selain mengakibatkan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian. Sementara mangsa yang cedera, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20 tahun.

Nahas melibatkan dua motosikal jenis Yamaha LC135 dan Yamaha Y15 yang digunakan mangsa, yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas makan malam. Sementara itu, kereta Honda CRV dipandu oleh Norizan Ismail, 49, seorang suri rumah yang menetap berhampiran kampus tersebut.

Norizan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun pada 15 Okt lepas, atas pertuduhan membunuh tiga penuntut terlibat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak melebihi 40 tahun dan disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan