AM

79 PEGAWAI MCMC TERIMA MBA DI BAWAH PROGRAM ALPS

17/12/2024 10:58 AM

PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Seramai 79 pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di bawah Accelerated Leadership Program Series (ALPs).

Pengarah Urusan MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata ALPs yang diadakan dengan kerjasama universiti tempatan melibatkan dua kohort yang terdiri daripada pegawai MCMC peringkat eksekutif junior daripada pelbagai jabatan.

Beliau berkata kohort pertama melibatkan 39 pegawai MCMC yang diadakan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) manakala kohort kedua seramai 40 peserta dengan kerjasama strategik Universiti Multimedia (MMU).

"ALPs adalah wadah atau platform untuk membimbing pemimpin muda dan menerusi program ini mereka diberi peluang bercakap, buat persembahan, buat perancangan bisnes, dan sebagainya.

"Dalam masa sama kita juga ada menjemput pihak industri untuk berkongsi pengalaman dan memberi pendedahan industri kepada peserta ALPs," katanya kepada media selepas Majlis Penutup ALPs Kohort 2 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Presiden MMU Prof Datuk Dr Maziham Mohd Su'ud.

Mohd Ali berkata MCMC merancang untuk meneruskan kohort ketiga di bawah ALPs dan proses tawaran tender kepada universiti yang berminat akan dibuka dalam masa terdekat.

ALPs adalah program yang ditaja sepenuhnya oleh MCMC untuk pembangunan kepimpinan khusus bagi bakat MCMC berpotensi tinggi berdasarkan Model Kecekapan Tingkah Laku dan Ciri Kepimpinan Digital.

Sementara itu, Maziham dalam ucapannya berkata menerusi ALPS, pegawai MCMC didedahkan dengan kaedah yang betul, bimbingan mentor dan kegigihan yang membolehkan seorang pemimpin menghadapi cabaran dan mengubah ia menjadi peluang untuk lebih berkembang pada masa depan. 

"MMU sebagai rakan kerjasama berbesar hati kerana dapat memainkan peranan dalam melengkapkan peserta dengan pengetahuan akademik dan praktikal yang diperlukan untuk mereka berjaya dalam menghadapi landskap digital yang berkembang pesat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan