KUALA TERENGGANU, 17 Dis (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan warga emas mengalami kerugian RM704,000 selepas menjadi mangsa pelaburan tidak wujud secara dalam talian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata lelaki berusia 73 tahun itu mendakwa melihat iklan pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat di aplikasi WhatsApp bulan lepas.
Beliau berkata mangsa yang tertarik dengan iklan itu, telah diarahkan suspek supaya memasukkan wang ke tiga akaun berbeza dengan lelaki itu telah membuat 10 transaksi berjumlah RM704,000 dalam tempoh 4 Nov hingga 5 Dis.
"Bagaimanapun, sehingga kini mangsa belum menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan dan dia yang berasa tertipu telah membuat laporan polis 3 petang semalam," katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Muhamad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan dan orang ramai diingatkan merujuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan.
-- BERNAMA