JENAYAH & MAHKAMAH

SYARIKAT PEMBINAAN DIDENDA RM25,000, GAGAL PASTIKAN KESELAMATAN PEKERJA

17/12/2024 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Sebuah syarikat pembinaan didenda RM25,000 atau dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana gagal memastikan keselamatan seorang pekerja lelaki warga Bangladesh yang maut ketika bekerja di sebuah tapak pembinaan tahun lepas. 

Hakim Norina Zainal Abidin menjatuhkan hukuman itu terhadap WCT Berhad selepas wakilnya Beh Chye Meng, 61, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu. 

Mengikut pertuduhan, syarikat terbabit sebagai majikan gagal memastikan safety and health plan guardrail & barricade dipatuhi sehingga menyebabkan kemalangan kepada Md Anisur Rahman di tapak pembinaan pembangunan di Pusat Bandar Damansara di sini pada 4.45 petang, 10 Ogos tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 19 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya. 

Mengikut fakta kes, pada 10 pagi, 11 Ogos 2023, empat pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menjalankan siasatan kemalangan maut di tapak pembinaan berkenaan.

Hasil siasatan mendapati mangsa ialah seorang pekerja am daripada sebuah syarikat pembinaan iaitu subkontraktor kepada WCT Berhad, yang maut pada 4.45 petang, 10 Ogos 2023, semasa melakukan kerja-kerja pengemasan di tingkat 58 tempat sama. 

Mangsa telah terpijak lubang main rope bersaiz 200 cm x 50 cm yang tidak ditutup dengan kukuh dan tidak ada penghadang dipasang menyebabkan mangsa jatuh ke atas beam konkrit di tingkat 57 dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan, namun mangsa meninggal dunia di hospital.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Nor Asnida Abdul Razak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran. 

“Syarikat ini mempunyai rekod terdahulu yang disebut di mahkamah ini pada 18 Dis tahun lepas. Syarikat terbabit mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman. Untuk makluman mahkamah, kejadian berlaku di tapak yang sama.

“Saya minta hukuman berbentuk pencegahan supaya mereka tidak mengabaikan keperluan undang-undang dan keselamatan tempat kerja pada masa hadapan dan meminta jumlah denda yang lebih tinggi daripada kes sebelum ini kerana satu nyawa telah hilang buat kali kedua," kata Nor Asnida. 

Sebelum menjatuhkan hukuman, Beh yang tidak diwakili peguam berkata syarikatnya berasa kesal dan berikrar untuk menghalang kejadian sedemikian berlaku di tapak mereka pada masa hadapan, selain mendidik pekerja mengenai isu keselamatan. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan