KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bekerjasama dengan DRB-HICOM Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd bagi memajukan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Perak.
Langkah itu dapat melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab ASEAN bagi kenderaan generasi akan datang (NxGV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV).
Dalam kenyataannya hari ini, MIDA berkata kerjasama itu turut menekankan aspek pelaburan strategik dan penubuhan ekosistem komprehensif bagi menjadikan AHTV sebagai hab inovasi automotif di ASEAN.
"Bidang tumpuan utama termasuk menggalakkan transformasi industri automotif Malaysia bagi menjadikan negara sebagai peneraju pengeluaran EEV dalam ASEAN selain menyokong pembangunan AHTV sebagai hab pembuatan NxGV dan komponen automotif berteknologi tinggi," kata MIDA.
Pada masa sama, usaha itu dapat meningkatkan kemampuan pembekal tempatan untuk menyertai aspek penyetempatan komponen penting selain penyepaduan dalam rantaian bekalan global dan menarik pemain rantaian bekalan automotif global mewujudkan ekosistem komprehensif di AHTV.
“Di samping itu, kerjasama itu membolehkan usaha dengan pihak berkepentingan untuk melaras dasar pelaburan, perindustrian dan perdagangan bagi mempercepat galakan serta penerimagunaan teknologi EEV merentasi Malaysia.
"Ini mampu memperkukuh penyelarasan bagi mewujudkan persekitaran kondusif untuk inovasi automotif yang mampan," kata MIDA.
Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Tan Sri Syed Faisal Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Jerry Gan Jiayue, semalam.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang menyaksikan acara itu menyifatkan MoU membabitkan MIDA, DRB-HICOM dan Geely itu sebagai memenuhi objektif Dasar Automotif Negara (NAP) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
Beliau berkata pembangunan AHTV itu tidak hanya menjadikan Malaysia sebagai hab automotif di ASEAN, tetapi turut memangkin revolusi kenderaan elektrik ASEAN, terutama dalam penyelesaian mobiliti berteknologi tinggi serta cekap tenaga.
"Perkongsian ini mencerminkan kesediaan Malaysia untuk bukan setakat meningkatkan teknologi, tetapi turut menerajui peralihan rantau ini kepada mobiliti yang mampan selain melengkapkan tenaga kerja kita dengan kemahiran tepat bagi meningkatkan produktiviti Malaysia secara menyeluruh," katanya.
Sementara itu, Sikh Shamsul Ibrahim berkata kerjasama terbabit membolehkan agensi itu memanfaatkan Industri 4.0 dan penyelesaian cekap tenaga bagi membentuk ekosistem dinamik di AHTV yang menyokong inovasi serta kemampanan.
Selaras dengan Inisiatif Penyelarasan Rantaian Bekalan Global dan Industry4WRD, MIDA juga komited untuk meningkatkan keupayaan pembekal tempatan dan membolehkan mereka memenuhi piawaian antarabangsa.
"Menerusi usaha memupuk rantaian bekalan yang kompetitif dan saling berkaitan, usaha ini dapat menyepadukan pembekal automotif tempatan secara lancar ke dalam pasaran serantau dan global selain meluaskan jangkauan dan impak mereka," katanya.
-- BERNAMA