TUMPAT, 17 Dis (Bernama) -- Sebanyak 40 ahli Skuad Ihsan MADANI daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi di Kelantan mula digerakkan hari ini bagi membantu petugas yang terjejas akibat banjir yang melanda baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Muhd Nur Aswadi Md Nor berkata gerak kerja itu melibatkan petugas dan agensi termasuk pengamal media berdaftar.
"Kita melancarkan jentera Skuad Ihsan MADANI pada peringkat negeri Kelantan bagi menyantuni dan meringankan beban petugas dengan membersihkan kediaman dimasuki air dan mengemas barangan.
"Kita akan menggerakkan usaha ini dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian keadaan khususnya semasa tempoh pascabanjir," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Skuad Ihsan MADANI di kediaman petugas Jabatan Penerangan Siti Aishah Che Amat, 30, di sini hari ini.
Muhd Aswadi berkata misi pascabanjir itu dapat menghimpunkan semua jabatan di bawah kelolaan Kementerian Komunikasi, iaitu Jabatan Penerangan negeri, Jabatan Komunikasi Komuniti, Jabatan Penyiaran Kelantan, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Pos Malaysia Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Telekom Malaysia.
"Skuad Ihsan MADANI sentiasa siap sedia bagi gelombang seterusnya dengan memberi tumpuan terhadap kawasan rendah atau lembah bagi membersihkan dan mengemas rumah yang terjejas akibat bencana itu.
"Kami mengalu-alukan penyertaan sukarelawan kerana skuad ini terdiri daripada individu yang turut membantu sesama kita, dan Jabatan Penerangan negeri selaku penyelaras bagi pihak Kementerian Komunikasi akan sentiasa menjaga kebajikan mereka yang terjejas banjir termasuk golongan wartawan yang akan diberikan sumbangan dan bantuan," katanya.
-- BERNAMA