KULAI, 17 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor melupuskan pelbagai barangan kes berjumlah lebih RM2.15 juta sepanjang tahun ini.
Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata pelupusan itu membabitkan 152 kertas siasatan yang telah diselesaikan di mahkamah.
"Barangan yang dimusnahkan dirampas di pelbagai peringkat perniagaan termasuk peruncit dan pemborong," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana di Kompleks Penyimpanan Ekshibit Senai di sini hari ini.
Pada program berkenaan yang merupakan pelupusan terakhir tahun ini, pelbagai barangan antaranya pakaian, aksesori telefon, jam tangan, beg tangan, produk makanan, kasut dan baju hujan yang dianggarkan bernilai RM113,652 daripada 23 kes yang telah selesai dari 2021 hingga 2024 dilupuskan.
Lilis Saslinda berkata kesemua barangan itu dirampas kerana kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagangan 2019, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1964 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
"Sepanjang tahun ini juga KPDN Johor telah mengendalikan 1,287 kes dengan nilai sitaan RM29.7 juta manakala hasil kutipan kompaun dan denda pula RM1.33 juta," katanya.
Sementara itu, Lilis Saslinda berkata lebih 10,000 aduan membabitkan kes penipuan dalam talian diterima tahun ini melibatkan barangan diiklan tidak sama dengan yang dibeli, tidak berkualiti dan peniaga tidak memberikan respons.
-- BERNAMA