KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini ketika hab kewangan global bersedia dengan pendirian bank pusat minggu ini, dibelenggu dengan meningkatnya ketidakpastian daripada keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.
Pada 5 petang, Indeks FBM KLCI menyusut 0.59 peratus atau 9.52 mata kepada 1,597.33 daripada 1,606.85 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks berkenaan dibuka rendah 1.59 mata kepada 1,605.26 dan bergerak antara 1,594.51 dan 1,606.81 sepanjang dagangan.
Sentimen pasaran turut negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 704 berbanding 346, manakala 529 kaunter tidak berubah, 892 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.99 bilion unit bernilai RM2.43 bilion daripada 3.16 bilion unit bernilai RM2.45 bilion pada Isnin.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, Fed berada dalam situasi sukar -- pasaran pekerjaan AS kukuh dan inflasi tidak berkurangan seperti yang dijangkakan.
Sehubungan itu, keadaan ini menyukarkan bank pusat untuk memutuskan sama ada terus menurunkan kadar faedah atau menghentikan.
"Pegawai Fed mempunyai perbezaan pandangan. Sebahagiannya bimbang dengan penurunan kadar yang terlalu cepat boleh mendatangkan cabaran manakala pegawai lain mempersoalkan sama ada penurunan kadar sebelum ini berkesan.
"Pelabur berharap kepada lebih banyak penurunan kadar, tetapi kini mereka tidak pasti, justeru menyebabkan pasaran tidak stabil," katanya kepada Bernama.
Menurutnya lebih membimbangkan lagi apabila China sebagai rakan dagang utama Malaysia sedang bergelut dengan potensi deflasi (penurunan harga) dan tidak melaksanakan dasar sokongan ekonomi yang kukuh meskipun menyatakan komitmen tinggi.
Sehubungan itu, keadaan ini telah mengurangkan keyakinan pelabur, seterusnya menyebabkan saham Malaysia merosot.
"Pendek kata, ketidaktentuan global terhadap kadar faedah AS dan kelembapan ekonomi China memberi tekanan kepada pasaran saham Malaysia dan menunjukkan bagaimana ekonomi global itu saling berkait," kata Innes.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Press Metal Aluminium susut 17 sen kepada RM4.86, Petronas Chemicals rendah 20 sen kepada RM4.78, Hong Leong Bank menyusut 32 sen kepada RM20.12, Sime Darby berkurangan 9.0 sen kepada RM2.34, dan Public Bank rendah 2.0 sen kepada RM4.52.
Vanzo Holdings yang mula disenaraikan di Pasaran ACE meneraju saham paling aktif, menokok 1.5 sen kepada 16.5 sen, diikuti Zen Tech yang tidak berubah pada 1.0 sen manakala MYEG susut 1.0 sen kepada 95 sen, Pestech naik 2.5 sen kepada 17 sen dan Bumi Armada meningkat 3.0 sen kepada 66.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 66.14 mata kepada 12,262.03, Indeks FBM Emas Syariah turun 71.00 mata kepada 12,283.14 dan Indeks FBM ACE rendah 66.46 mata kepada 5,241.86.
Indeks FBMT 100 merosot 65.34 mata kepada 11,945.99 dan Indeks FBM 70 rendah 79.43 mata kepada 18,410.06.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 116.55 mata kepada 18,936.01, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.96 mata kepada 172.14, Indeks Tenaga berkurangan 2.37 mata kepada 816.66 dan Indeks Perladangan rendah 25.65 mata kepada 25.65.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.59 bilion unit bernilai RM2.21 bilion daripada 1.70 bilion unit bernilai RM2.18 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran susut kepada 662.60 juta unit bernilai RM64.50 juta daripada 998.51 juta unit bernilai RM126.58 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 739.59 juta unit bernilai RM159.48 juta daripada 453.29 juta unit bernilai RM140.90 juta sebelum ini.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 206.01 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (346.99 juta), pembinaan (94.26 juta), teknologi (295.82 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (83.91 juta), hartanah (197.59 juta), perladangan (29.70 juta), REIT (13.92 juta), dana tertutup (8,900), tenaga (126.98 juta), penjagaan kesihatan (91.11 juta), telekomunikasi dan media (40.26 juta), pengangkutan dan logistik (31.82 juta), utiliti (32.03 juta), dan amanah perniagaan (111,600).
-- BERNAMA