KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Dewan Negara hari ini merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Tun Musa Aman atas pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11, semalam.
Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah ketika membacakan pemasyhuran tersebut sebelum memulakan persidangan hari ini berkata, kesemua Ahli Dewan berharap pelantikan itu dapat membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada penduduk Sabah.
“Kita juga ucapkan selamat berkhidmat kepada beliau,” katanya.
Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028.
Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Dis ini, selepas menyandang jawatan itu selamat empat penggal bermula 1 Jan 2011.
-- BERNAMA