KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- OldTown White Coffee, rangkaian kopitiam diiktiraf halal terbesar di Malaysia, memperkenalkan 'Wow Deal' menampilkan hidangan lebih enak dengan rasa asli.
Ketua Pemasaran OldTown White Coffee Phan Tsui Suan berkata 'Wow Deals' memperkenalkan semula menu sedia ada termasuk item terpilih dengan resipi dipertingkat dan untuk menampilkan sajian OldTown White Coffee menerusi pilihan jimat dan pelbagai.
Beliau berkata bagi menambah kelazatan dan menyediakan saiz hidangan yang menggembirakan pelanggan, OldTown White Coffee telah menambah baik resipi bagi menu terkenalnya seperti Ipoh Chicken Hor Fun dan Kaya Butter Toast.
"Bagi mengekalkan resipi tradisional yang membuatkan OldTown White Coffee restoran pilihan dalam pasaran kopitiam sambil menjamin rasa yang lebih sedap dan halus, kami telah menambah baik proses penyediaan kopi (brewing) kami.
"Perubahan ini mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan rasa asli, meningkatkan keenakan dan menyediakan pengalaman menjamu selera yang lebih memuaskan," katanya dalam temu ramah eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Sebagai tambahan kepada usaha memperbaharui menu, OldTown White Coffee turut memperkenalkan Nasi Lemak with Crispy Chicken (Whole Leg) untuk makan tengah hari dan makan malam.
"Hidangan ini menampilkan paha ayam rangup digandingkan dengan sambal dan nasi bersantan istimewa kami, dengan resipi ditambah baik untuk menyediakan hidangan yang menyelerakan dan memuaskan.
"Kami terus menerokai idea baharu dan akan terus memperkenalkan tawaran yang mengujakan dan menggembirakan pelanggan kami," katanya.
OldTown White Coffee menawarkan pelbagai hidangan, makanan dan minuman kegemaran tempatan bagi memenuhi citarasa berbeza pelanggan yang sesuai untuk keluarga dan semua peringkat umur.
"Jenama kami memberikan keutamaan kepada rasa asli dan hidangan enak selain inisiatif ini memastikan tawaran kami kekal relevan dan terus memenuhi kehendak pelanggan.
"Cawangan kopitiam kami menampilkan suasana selesa bagi sebarang tujuan, sama ada untuk bersantai atau acara profesional, dilengkapi dengan khidmat layanan meja dan pekerja yang ramah serta berpengalaman," katanya.
-- BERNAMA