EKONOMI

TURKMENISTAN DAN MALAYSIA MAHU PERKUKUH HUBUNGAN, AKUI PERANAN PETRONAS - PRESIDEN

19/12/2024 01:42 PM

PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) – Turkmenistan dan Malaysia sedia mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi dua hala yang menumpukan aspek tenaga, perdagangan dan inovasi, kata Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow.

Beliau juga menyifatkan kerjasama kedua-dua negara yang lama terjalin dalam sektor tenaga, terutama menerusi syarikat minyak dan gas negara, Petronas di Turkmenistan, sebagai bukti impak hubungan itu yang saling menguntungkan.

Berdimuhamedow berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Perdana Putra di sini, hari ini, bersempena lawatan rasmi dua harinya ke Malaysia bermula semalam.

“Hasil usaha Petronas yang beroperasi dengan jayanya di Turkmenistan selama beberapa tahun, adalah bukti manfaat kerjasama dua hala yang dijalinkan.

“Turkmenistan melihat prospek besar bagi kerjasama membabitkan pelaksanaan projek dalam peralihan tenaga dan komunikasi, pemprosesan minyak dan gas, industri kimia, teknologi tinggi, perancangan bandar inovatif, pelancongan dan beberapa bidang lain,” katanya.

Selain itu, Berdimuhamedow dan Anwar turut menyaksikan pemeteraian tiga memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kedua-dua negara dalam bidang pelancongan, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Turkmenistan serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Turkmenistan.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran dokumen antara Malaysia dan Turkmenistan mengenai Perjanjian Pemansuhan Visa Separa (PVAA) bagi pemegang pasport diplomatik dan rasmi, Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) dan Industri Penerbangan serta antara institut hubungan luar kedua-dua negara berkaitan kerjasama dalam bidang latihan diplomat serta pertukaran saintifik.

Mengulas selanjutnya, Berdimuhamedow berkata lawatan itu membawa kepada pemeteraian beberapa perjanjian penting yang menyumbang kepada kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang.

“Kami amat menghargai hasil daripada kunjungan ke Malaysia ini. Perjanjian yang dicapai serta dokumen yang dipersetujui akan menyumbang kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan, ekonomi, kebudayaan dan kemanusiaan,” katanya.

Terdahulu, Berdimuhamedow diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini sebelum mengadakan pertemuan dengan Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Ini merupakan kunjungan pertama Berdimuhamedow ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Mac 2022.

Perdagangan antara Malaysia dan Turkmenistan mencatat pertumbuhan ketara dengan jumlah dagangan melonjak 74.8 peratus bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024.

Nilai perdagangan itu meningkat kepada RM63.28 juta (US$13.90) berbanding RM36.19 juta (US$7.91 juta) pada tempoh sama tahun lepas.

Pada 2023, Turkmenistan menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah perdagangan bernilai RM48.62 juta (US$10.57 juta).

Hubungan diplomatik Malaysia dan Turkmenistan telah dijalin secara rasmi pada 1992.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan