AM

PELANCONGAN DOMESTIK REKOD 66.3 JUTA PELAWAT, RM25.6 BILION PERBELANJAAN PADA SUKU KETIGA 2024

19/12/2024 03:05 PM

PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Prestasi pelancongan domestik di Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada suku ketiga 2024 dengan merekodkan 66.3 juta pelawat dan jumlah perbelanjaan RM25.6 bilion, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini. 

Laporan DOSM itu berdasarkan Survei Pelancongan Domestik Malaysia (DTS) suku ketiga 2024.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata setakat September 2024, pelancongan domestik Malaysia telah merekodkan sejumlah 193.3 juta pelawat dengan menunjukkan peningkatan 21.8 peratus tahun ke tahun. 

“Perbelanjaan pelancongan domestik bagi sembilan bulan pertama 2024 telah mencapai RM77.8 bilion, menggambarkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 27.2 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dari segi sektor penginapan, jumlah hasil meningkat 12.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Mohd Uzir berkata pertumbuhan itu disokong oleh kadar penghunian hotel lima bintang yang meningkat 1.1 peratus, diikuti hotel empat bintang (+4.2 peratus) dan hotel tiga bintang (+0.2 peratus). 

“Kadar penghunian mengikut lokasi di bandar meningkat 3.4 peratus, berbanding suku yang sama tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata prestasi berkaitan industri pelancongan pada suku tahun ketiga 2024 adalah menggalakkan dengan nilai jualan runcit bahan api meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun diikuti trafik lebuh raya (+5.5 peratus), ketibaan di lapangan terbang domestik (+3.5 peratus) dan hasil zoo (+1.7 peratus).

Pelancongan domestik Malaysia, katanya merupakan satu daripada tonggak utama ekonomi negara yang dipacu oleh pertumbuhan bilangan pelawat, perbelanjaan yang tinggi dan prestasi yang kukuh merentasi industri berkaitan pelancongan. 

“Pertumbuhan ini dijangka berterusan, mengukuhkan kepentingan sektor ini terhadap kesihatan ekonomi keseluruhan negara,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan