AM

KADAR TOL LEBUH RAYA WISE TIDAK AKAN DINAIKKAN SEWENANG-WENANGNYA - NANTA

19/12/2024 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Kadar tol bagi projek pembinaan Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE), yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar di Perak dan dijangka siap pada 2028, tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata anggaran kos pembinaan lebuh raya itu telah dimuktamadkan oleh kerajaan berdasarkan reka bentuk dan skop kerja yang disediakan oleh perunding profesional bertauliah yang dilantik syarikat konsesi, menerusi proses Makmal Pengurusan Nilai.

“Anggaran kos yang dimuktamadkan antara kerajaan dengan syarikat konsesi itu berdasarkan kadar harga semasa yang diguna pakai bagi memastikan anggaran kos yang munasabah.

“Dalam konteks ini, ia termasuk dalam pengiraan kadar tol yang akan dikenakan. Jadi, sebarang perubahan skop kerja yang melibatkan pertambahan kos pembinaan perlu ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi, seperti yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar yang ingin mengetahui pihak yang mengawal kos pembinaan lebuh raya terbabit serta mekanisme bagi memastikan kadar tol tidak membebankan pengguna.

Nanta berkata penentuan kadar tol sesebuah lebuh raya adalah berdasarkan cadangan aliran tunai oleh syarikat konsesi yang mengambil kira kos pembinaan, unjuran trafik, kos operasi dan penyelenggaraan.

“Semua perkara ini telah diperhalus dan diperakukan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sebelum dibawa ke peringkat pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya. 

Nanta sebelum ini dilaporkan berkata jajaran projek WISE menelan belanja kira-kira RM6.2 bilion itu menyediakan laluan alternatif kepada pengguna Terowong Menora yang sering menghadapi kesesakan disebabkan oleh bilangan kenderaan berat yang tinggi.

Projek Lebuhraya WISE melibatkan lebuh raya bertol dari Kuala Kangsar ke Gopeng melalui Siputeh dan Batu Gajah dengan anggaran 60.88 kilometer (km) secara penswastaan.

Kadar tol yang ditetapkan bagi lebuh raya itu adalah sebanyak 23 sen per km bagi tempoh konsesi selama 55 tahun termasuk empat tahun tempoh pembinaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan