PASIR PUTEH, 19 Dis (Bernama) -- Seorang pemuda tidak menyangka keputusannya untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung halamannya di Kampung Gaal di sini, bagi membantu ibunya menjual ubi kayu, memberi peluang kepadanya menjana pendapatan berganda.
Muhammad Muazzim Zulkiflee, 28, berkata lebih membanggakan dia berjaya membuka sebuah kilang memproses tanaman itu yang mampu menghasilkan kira-kira dua tan metrik tepung ubi sehari di kampungnya tahun lepas.
Setelah menamatkan pengajian di sebuah institut kemahiran dalam bidang kimpalan, Muhammad Muazzim berkata dia bekerja di kilang elektronik di Selangor tiga tahun lepas, sebelum ibunya Wan Rokiah Wan Deris, 56, memintanya pulang untuk membantu menguruskan perniagaan kerana kekurangan tenaga pekerja.
"Ibu saya mengusahakan produk kerepek ubi secara kecil-kecilan di rumah. Pada awalnya, saya agak berat hati kerana bidang ini agak jauh berbeza dengan kemahiran yang saya ada (kimpalan),
"Namun, apabila memikirkan dengan pekerjaan itulah ibu membesarkan kami lima beradik sehingga ada yang berjaya ke menara gading, akhirnya saya menurut kemahuan ibu," katanya kepada Bernama di kilang miliknya di Kampung Gaal hari ini.
Muhammad Muazzim berkata pada awal penglibatannya dalam perusahaan itu, dia turut menjual ubi kayu mentah pada musim tengkujuh selain kerepek yang dihasilkan ibunya, di bawah sebuah khemah di tepi jalan.
"Saya dapati sambutan terhadap jualan ubi mentah sangat memberangsangkan pada musim tengkujuh dan ada juga pelanggan yang mencari tepung untuk membuat kuih yang berasaskan ubi kayu termasuk putu halba.
"Dari situlah saya mula mempelajari cara menghasilkan tepung ubi secara manual sebelum membeli mesin dan seterusnya berjaya mengusahakan sebuah kilang," katanya yang dibantu 10 pekerja di kilang itu yang turut menghasilkan pelbagai produk termasuk kerepek pisang dan kerepek bawang untuk jualan harian dan musim perayaan.
Kata anak ketiga daripada lima beradik itu, tanaman ubi kayunya kini berkeluasan kira-kira lapan hektar dan merancang untuk menambah keluasan tanaman ke kawasan lain bagi meningkatkan hasil pengeluaran produk berasaskan ubi kayu.
"Perniagaan ini ternyata mempunyai prospek yang baik untuk diusahakan selain membuka ruang pekerjaan kepada penduduk setempat," katanya.
-- BERNAMA