AM

DBKL PERUNTUK RM2.8 BILION UNTUK BELANJAWAN 2025

19/12/2024 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM2.8 bilion untuk Belanjawan 2025 merangkumi RM2.2 bilion atau 77.5 peratus untuk mengurus dan RM57 juta atau 20.3 peratus untuk pembangunan ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata belanjawan bertemakan “Kuala Lumpur Lestari, Warga Kota Sejahtera” itu meningkat sebanyak 6.59 peratus berbanding Belanjawan 2024 yang memperuntukkan RM2.7 bilion.

Beliau berkata belanjawan itu diperuntukkan mengikut bidang keutamaan berdasarkan 15 Program Flagship DBKL (2024-2026) antaranya program Mitigasi Banjir dengan peruntukan RM89.1 juta, program Pengurusan Kesesakan Lalu Lintas dan Keselamatan (RM178.7 juta), program Rendah Karbon (RM57.6 juta) dan program Lestari Niaga (RM26.9 juta).

“Setiap perancangan yang digariskan dalam belanjawan kali ini adalah realistik dan berasaskan kepada keperluan sebenar, tanpa mengorbankan visi dan misi DBKL iaitu memberikan keutamaan kepada projek yang memberikan impak langsung kepada kesejahteraan warga kota,” katanya dalam sidang media 100 Hari Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pembentangan belanjawan itu di sini hari ini.

Selaras Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, Maimunah berkata DBKL turut memperuntukkan RM21.8 juta bagi tujuan mengurus dan pembangunan yang melibatkan kedua-dua acara terbabit.

Beliau berkata lebih daripada 200 mesyuarat di pelbagai peringkat akan diadakan di seluruh negara dan Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah untuk mesyuarat utama termasuk Mesyuarat Ketua Kerajaan ASEAN pada Mei dan Oktober 2025.

“Sehubungan itu, DBKL telah memperuntukkan RM8.5 juta khusus untuk acara itu dengan memberi tumpuan meningkatkan kualiti kehidupan bandar, menangani isu komuniti serta memperbaiki akses kepada kemudahan dan perkhidmatan awam.

“Pada masa sama, DBKL turut membuat persediaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menyediakan peruntukan pembangunan berjumlah RM8.4 juta untuk tujuan menaik taraf kawasan segi tiga pelancongan dan projek-projek pemuliharaan imej reka bentuk bandar,” katanya.

Selain itu, Maimunah berkata DBKL dengan kerjasama Khazanah Nasional dan Think City Sdn Bhd akan membangunkan Daerah Budaya dan Kreatif Kuala Lumpur (KLCCD) di sekitar Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka.

KLCCD adalah kawasan pusat bandar yang dihidupkan sebagai pusat kreatif dengan menjadi daya penarik untuk industri kreatif dan pada masa sama akan membuka peluang pekerjaan kepada warga kota.

“Justeru itu, dalam mencapai usaha ini, sejumlah RM11.3 juta diperuntukkan dalam peruntukan mengurus tahun 2025 dan sementara RM3.4 juta pula disediakan untuk peruntukan pembangunan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan