KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Polis menerima 24 laporan daripada individu mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Korea Selatan dikendalikan seorang pempengaruh dan usahawan tempatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata nilai kerugian kesemua mangsa melibatkan RM454,450.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sebahagian kes telah dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Sos Sara Hidup untuk tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599).
“Mangsa yang terlibat dinasihatkan segera tampil membuat laporan polis agar satu siasatan yang sewajarnya dapat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagi membendung kes penipuan pakej pelancongan, orang ramai dinasihatkan membuat semakan terhadap pendaftaran agensi pelancongan melalui portal rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi www.motac.gov.my/semakan/ .
Sejak Isnin, tular menerusi media sosial video luahan seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pempengaruh dan usahawan yang membuka agensi pelancongan di Korea Selatan.
Menerusi video berkenaan, wanita itu mendakwa dia bersama rombongan 'terkandas' di lapangan terbang kerana tiada tiket penerbangan pulang ke tanah air seperti dijanjikan usahawan terbabit sebelum dimaklumkan terdapat masalah teknikal untuk membuat tempahan tiket.
-- BERNAMA