CHUKAI, 19 Dis (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan kerugian RM210,976.50 selepas menjadi mangsa pelaburan tidak wujud secara dalam talian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata lelaki berusia 31 tahun itu telah menyertai satu skim pelaburan menerusi satu laman web bulan lepas setelah dijanjikan keuntungan lumayan.
Beliau berkata mangsa telah membuat 13 transaksi ke 11 akaun berbeza bermula 4 Nov hingga 10 Dis dengan jumlah keseluruhan RM210,976.50.
"Mangsa yang berasa tertipu selepas tidak menerima pulangan dijanjikan telah membuat laporan polis petang semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau sehubungan itu menasihati orang ramai membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum membuat sebarang pelaburan.
-- BERNAMA